AIDILFITRI yang bakal disambut pada Selasa depan akan memberikan seribu makna kepada umat Islam seluruh negara selepas dua kali hari raya, kita berdepan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) gara-gara Covid-19.
Pasti kita semua tidak sabar untuk mencipta momen terindah bersama keluarga tersayang pada Syawal kali ini.
Mungkin tahun ini juga lebih ‘ceria’ selepas kerajaan bersetuju memberikan kebenaran kepada mereka yang layak untuk Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.
Sedikit sebanyak wang tersebut dapat membantu menampung kekurangan yang ada kesan daripada pandemik sebelum ini.
Malah, lebih menggembirakan buat Keluarga Malaysia apabila kerajaan juga bersetuju memberikan kadar tol percuma pergi dan balik kampung.
Nampaknya raya sakan kita tahun ini.
Namun, ada juga yang menakutkan Merak Jalanan kerana polis akan menahan pengguna jalan raya yang dikesan memiliki waran tangkap lampau sepanjang Op Selamat yang berlangsung dari 29 April hingga 8 Mei ini.
Bayangkan, ketika kita balik kampung kena tahan.
Polis buat kerja, jadi tak sepatutnya kita mahu menyalahkan mereka.
Salah kita kerana tak bayar saman.
Kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, pelaksanaan itu akan berlangsung sepanjang tempoh 10 hari Op Selamat.
Individu yang memiliki waran tangkap akan dibawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya, manakala mereka yang memiliki saman tertunggak akan diminta menjelaskan saman tersebut.
Jadi, janganlah marah polis yang melaksanakan penguatkuasaan walaupun masa itu hari raya.
Dan tiba-tiba Merak Jalanan teringat satu komen netizen:"Tolonglah polis, jangan tahan kami. Kami tak mahu tidur lokap.”