Banjir luar musim, petani KADA rugi RM26.19 juta

Iklan
Kamarudin (tengah) bersama Nik Roslan (kiri) pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media Kelantan pada Rabu.

KOTA BHARU - Petani di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mengalami kerugian RM26.19 juta apabila tanaman padi yang diusahakan oleh mereka di atas tanah seluas 4,500 hektar ditenggelami banjir luar musim pada hujung Februari lalu.

Pengerusi KADA, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, jumlah kerugian itu melibatkan padi yang diusahakan oleh seramai 1,365 pesawah dari kawasan Pasir Puteh, Bachok, Tumpat dan Pasir Mas.

Iklan
Iklan

"Pasir Mas dan Tumpat merupakan lokasi yang paling teruk terjejas dengan kejadian banjir luar musim itu.

"Ramai yang terkesan dengan banjir luar musim baru-baru ini kerana semasa kejadian pokok padi baru hendak membesar," katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media di negeri ini pada Rabu.

Iklan

Hadir sama Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Nik Idris.

Menurutnya, KADA telah memaklumkan kerugian yang dialami oleh petani itu ke pengetahuan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Iklan

Beliau berkata, pihak MAFI sedang mendapatkan permohonan dari Kementerian Kewangan bagi membantu petani yang terkesan.

Dalam perkembangan lain, Kamarudin berkata, pihaknya telah menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri untuk memulihkan tanah di Mukim Kala, Bunut Susu, Pasir Mas untuk projek tanaman padi.

"Kerjasama ini melibatkan kawasan tanah terbiar yang berkeluasan 100 hektar. Langkah awal, kita akan rawat dan pulihkan tanah-tanah ini sebelum kerja-kerja penanaman dapat dijalankan.

"Ia mengambil masa sekurang-kurang dua hingga tiga tahun sebelum dapat digunakan," katanya.

Kamarudin berkata, situasi itu dilihat mampu menambahkan semula kawasan tanaman padi bawah seliaan agensi itu sekali gus meningkatkan lagi bekalan makanan negara.

"Jumlah asal kawasan tanaman padi seliaan KADA ialah 37,000 hektar. Namun berkurangan sebanyak 10,000 hektar untuk tujuan pembangunan.

"Ketika ini KADA hanya mempunyai tanah berkeluasan 25,000 hektar untuk tanaman padi," katanya.