SHAH ALAM - Kos sara hidup sedang melambung tinggi memberi kesan lebih-lebih lagi kepada pelajar tajaan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang elaun mereka tidak berubah sejak tahun 2012.
Badan Perhubungan Negara United Kingdom and Eire (BPN UKE) berkata, satu langkah segera mesti digerakkan bagi meringankan beban ditanggung pelajar terbabit yang juga memegang tanggungjawab besar mengubah nasib keluarga.
"Indeks harga makanan naik mendadak pada kadar 5.9 peratus pada Mac 2022, tertinggi dalam tempoh 10 tahun. Bagi indeks harga sewa pula meningkat 12.9 peratus sejak tahun 2015,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut kenyataan itu, tinjauan yang dijalankan oleh JPA-Mara Special Operation pada Februari lalu menunjukkan di kota-kota utama seperti Bristol, Edinburgh dan London lebih 60 pelajar tajaan majoritinya golongan B40 terbeban dengan perbelanjaan harian mereka.
Jelasnya, rata-rata pelajar tajaan di kawasan-kawasan itu terpaksa menanggung purata £500 hingga £730 (RM2,732 hingga RM3,990) sebulan untuk membayar sewa rumah dan bil utiliti.
Menurutnya, ia telah mencakupi 60 hingga 70 peratus daripada elaun diterima, menjadikan hanya 30 hingga 40 peratus baki untuk perbelanjaan rumah, universiti, peribadi dan kecemasan.
"Masalah kesenjangan pendapatan pelajar JPA dan Mara ini berpunca daripada klasifikasi elaun kawasan Zon A dan Zon B yang tidak selari dengan keperluan semasa sehingga menyebabkan pemberian elaun yang tidak setara dengan kos sara hidup berlaku.
"Misalnya, elaun sara hidup yang diterima pelajar JPA dan Mara ketika ini di beberapa kota utama seperti London sebanyak £1045 (RM5,711) didapati jauh lebih rendah berbanding median saranan kerajaan UK iaitu sebanyak £1312 (RM7,171) setakat September 2021.
"Akibatnya, perbezaan antara nilai ini terpaksa ditanggung kebanyakan pelajar melalui pemotongan bajet seperti dengan cara mengikat perut, mendapatkan penempatan yang jauh daripada universiti serta bekerja sambilan di luar waktu kelas.
"Jika dibiarkan keadaan ini dijangka menjadi lebih teruk dalam bulan-bulan akan datang,” katanya.
Menyedari situasi kritikal itu, BPN UKE telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi bersama-sama membantu mencari penyelesaian segera untuk menangani krisis kos sara hidup yang melanda pelajar tajaan JPA-Mara ini.
Menurutnya, jawatankuasa itu akan bertanggungjawab menjalankan kajian terperinci berkenaan sebarang cadangan polisi sebelum dibentangkan kepada JPA, Mara dan kabinet untuk tindakan susulan.
"Konsensus terbaik dalam usaha meningkatkan elaun sara hidup mengambil kira situasi ekonomi negara yang juga masih dalam fasa pemulihan pasca Covid-19 perlulah dibincangkan segera bersama semua pemegang taruh.
"Hal ini agar pelajar-pelajar harapan bangsa ini tidak terus terbeban dihimpit krisis kos sara hidup angkara konflik dunia yang tidak berpenghujung,” jelasnya.