BIARPUN melakar kemenangan 2-0 ke atas Villareal pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Anfield pada Rabu, namun Liverpool dilihat masih perlu bekerja keras bagi mengharungi aksi separuh akhir kedua minggu depan.
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp berkata, tiada apa yang boleh dibanggakan skuad The Reds itu setakat ini kerana mereka masih berbaki 90 minit perlawanan sebelum mengesahkan pasukan mana yang bakal beraksi di pentas final Liga Juara-Juara musim ini.
"Ya, kita menang 2-0, tetapi masih banyak ‘kerja’ yang perlu dilakukan dalam usaha kita melangkah ke final.
"Malah, perlawanan kali ini juga boleh diibaratkan seperti aksi separuh masa pertama, di mana kita sedang mendahului pasukan lawan.
"Oleh itu, kesemua pemain masih perlu bekerja keras pada aksi separuh kedua nanti bagi menjamin kejayaan pasukan,” katanya,
Pada aksi separuh akhir pertama Rabu lalu, Liverpool membuka jaringan menerusi pemain Villareal, Pervis Estupinan yang tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-53 sebelum Sadio Mane menjaringkan gol kedua Liverpool pada minit ke-88 bagi memastikan kemenangan mutlak The Reds.
Sementara itu, Klopp nyata berbangga dengan aksi yang dipersembahkan kesebelasan Liverpool pada perlawanan berkenaan.
Katanya, kesemua pemain berjaya memainkan peranan masing-masing apabila dilihat bertahan dengan baik selain turut menyusun serangan dengan baik
"Kesemua pemain telah beraksi dengan baik, namun sebenarnya, ia masih belum menjanjikan apa-apa kerana mereka (pemain), perlu lebih peka pada aksi separuh akhir kedua nanti.
"Selain itu, mereka juga bakal berdepan atmosfera yang penuh dengan tipu muslihat nanti.
"Oleh itu, pemain diharap lebih peka dengan memberikan fokus sepenuhnya bagi mengharungi aksi separuh akhir kedua nanti,” katanya.