ALOR SETAR - Seramai 3,700 keluarga asnaf dan fakir miskin di empat daerah di Kedah masing-masing menerima sumbangan dua ekor ayam segar daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bernilai RM99,900.
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman berkata, kawasan tersebut membabitkan daerah Kubang Pasu yang diagihkan pada Isnin, Kuala Muda (Selasa), Yan (Rabu) dan Kota Setar (Khamis).
Menurutnya, agihan itu juga mendapat kerjasama daripada 107 masjid di keempat-empat daerah terbabit bagi membantu meringankan persiapan menjelang Aidilfitri buat asnaf dan fakir miskin yang terpilih.
"Pada tahun lalu kita agihkan ayam segar di tiga daerah dan tahun ini kita tambah kepada empat daerah pula dengan 7,400 ekor ayam segar diagihkan kepada 3,700 keluarga.
"Harapan kita, infak dua ekor ayam segar kepada satu keluarga ini dapat meringankan beban mereka menyambut Aidilfitri dengan lebih selesa. Dua ekor ayam bernilai RM26 bagi keluarga asnaf adalah suatu angka yang besar," katanya pada sidang akhbar di Masjid Ar Rahman Alor Merah pada Khamis.
Program penyerahan disempurnakan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.
Sebanyak 1,375 penerima asnaf dan fakir miskin terpilih menerima agihan ayam segar di daerah Kota Setar, 900 penerima di Kubang Pasu, 925 penerima (Kuala Muda) dan 500 penerima (Yan).
Mengulas lanjut, Zakaria berkata, penghargaan turut diberikan kepada lima badan korporat yang turut memberikan tajaan wakalah ayam segar pada tahun ini membabitkan jumlah sumbangan RM41,350.
Menurutnya badan korporat itu adalah Pharma Niaga Sdn Bhd yang menyumbang RM24,300, Tenaga Nasional Berhad Kedah (RM10,000), Perkeso Kedah (RM3,000), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (RM2,700) dan Kedah Medical Centre (RM1,350).
"Saya juga mengucap terima kasih kepada orang ramai yang menyumbang melalui Ayam Segar Asnaf Care yang sehingga pagi ini mencatatkan sumbangan RM22,734.
"Berdasarkan angka dan sokongan ini, saya percaya sumbangan agihan ayam segar kepada asnaf dan fakir miskin dapat diteruskan lagi dengan jumlah penerima lebih ramai pada tahun hadapan," ujarnya.