SUNGAI PETANI - Jualan Rakyat sempena Aidilfitri di Masjid Al-Muhajirin, Taman Bandar Baru, Sungai Lalang pada Rabu mula diserbu orang ramai seawal jam 7 pagi.
Penduduk Taman Lembah Permai, Hasnah Mansor, 54, berkata, sejak dari jam 7 pagi dia telah mula beratur bersama pengunjung lain semata-mata mahu mendapatkan barangan yang dijual dengan harga lebih murah dari pasaran.
Menurutnya, barangan keperluan asas seperti beras dan gula cukup murah jika dibandingkan di tempat lain.
"Alhamdulillah boleh beli, murah sangat, saya beli untuk persiapan hari raya sebab anak-anak balik nak beraya tetapi orang ramai, terpaksa tunggu lama untuk buat bayaran," katanya.
Seorang lagi penduduk dari Taman Bandar Baru, Zulhairi Zulkifli, 36, berkata, penganjuran itu boleh diteruskan pada masa akan datang memandangkan sambutannya amat menggalakkan.
"Kalau beli di luar memang agak mahal, kali ini beli di sini sangat berbaloi," katanya.
Bagi pasangan adik beradik dari Taman Permai Bistari, Bedong, Jamilah, 61, dan Che Jamsuri Jaafar, 54, berkata, dia dan adiknya keletihan melihat gelagat orang ramai beratur panjang bagi mendapatkan barangan dengan harga murah.
Jamilah berkata, sebaik sampai, orang ramai sudah mula beratur panjang bagi mendapatkan pelbagai barangan keperluan yang dijual.
Sementara itu, Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip berkata, program itu dilaksanakan dengan tujuan meringankan beban rakyat khususnya golongan B40 untuk menyambut Aidilfitri.
Antaranya barang keperluan harian yang dijual termasuklah beras lima kilogram dijual dengan harga RM9.90, sardin dalam tin dan susu pekat dijual dengan hanya RM1, telur ayam gred C sepapan dijual dengan harga RM5 dan ayam segar RM7 sekilogram.
Program anjuran Masjid Al-Muhajirin dengan kerjasama Pasaraya Mydin, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Merbok itu bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.