KUANTAN - Penduduk di sekitar lokasi kejadian kebakaran di Permatang Badak Perdana 2 awal pagi tadi menyifatkan bunyi letupan kuat berkali-kali seolah-olah seperti terkena bom.
Robiah Zakaria, 48, berkata, letupan kuat mengejutkannya yang sedang lena tidur diikuti tangisan anaknya, Mohd Arrayan Suffian, 2.
"Letupan pertama saya ingat bunyi ribut petir sehinggalah berlaku letupan kedua yang kuat berserta gegaran dan bunyi pecah dari atas bumbung.
"Masa itu saya anggap ia bukan lagi bunyi ribut petir kerana bunyi serpihan berbeza dan saya merasakan kami sekeluarga seolah-olah macam terkena bom yang kuat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Badak Perdana 2 di sini pada Khamis.
Dia yang juga suri rumah berkata, anaknya yang berusia 2 tahun nyaris tercedera kerana cermin tingkap rumahnya pecah akibat letupan dan gegaran kuat itu.
"Alhamdulillah anak saya tidak terkena serpihan kaca kerana dihalang oleh langsir. Kalau tiada langsir mungkin anak saya boleh cedera," katanya.
Sementara itu, Faridah Mamat, 56, mengakui terkejut sebaik sahaja mendengar dua letupan kuat yang disusuli api marak pada jarak 50 meter dari rumahnya.
Katanya, dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana api tersebut cepat merebak, selain mendengar letupan-letupan kecil di sekitar kawasan kebakaran.
"Masa letupan pertama saya ingat ada sesiapa yang main mercun, selang beberapa minit saya dengar letupan kedua dan bunyi lebih kuat daripada letupan pertama.
"Bila letupan kedua, saya terus buka pintu rumah dan nampak api marak. Ketika itu saya hanya mampu melihat dan tidak dapat membantu," katanya
Seorang lagi penduduk berhampiran, Hamirudin Mohamad, 45, berkata, dia terjaga daripada tidur akibat terdengar bunyi letupan dan terasa gegaran.
"Saya rasa berdebar dan takut kerana gegaran dan bunyi kuat. Saya tidak berani keluar dan hanya keluar dari rumah sejam kemudian.
"Bila saya keluar barulah saya tahu rupanya berlaku kebakaran dan ketika itu saya lihat api sudah terpadam dan semua sudah selesai,” katanya.
Fadzlullah Sulaiman, 69, pula memaklumkan terdengar letupan kuat sebanyak tiga kali dari lokasi kejadian yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya.
"Terkejut dengar bunyi letupan kuat itu, saya terus keluar ke arah bunyi letupan dan ketika itu api sudah marak,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Permatang Badak Perdana 2 di sini.
Kebakaran turut menyebabkan lima yang lain termasuk seorang bayi perempuan berusia lapan bulan cedera.
Sebelum itu, tular rakaman video melalui aplikasi WhatsApp mengenai kejadian itu yang didakwa berpunca daripada stok simpanan mercun di salah sebuah rumah terbabit.