PUTRAJAYA - Persatuan OKU Sentral dan Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS menjalin kerjasama bagi menubuhkan dua pusat dialisis khusus untuk orang kurang upaya (OKU) di Putrajaya dan Kuala Lumpur pada tahun ini.
Kerjasama itu dimeterai melalui satu memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa Prof Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman di Putrajaya pada Khamis.
Ras Adiba berkata, melalui MoU itu, pihaknya bertanggungjawab untuk mengenal pasti lokasi dan pembiayaan untuk pembukaan kedua-dua pusat dialisis itu.
"Saya berbesar hati dan bersyukur kerana dengan termeterainya MoU ini, ia akan memberi sedikit bantuan kepada sahabat OKU khususnya apabila pusat dialisis dibuka nanti.
"Sebagai permulaan, pusat dialisis ini akan ditubuhkan di Putrajaya dan Kuala Lumpur... mungkin kita akan buat di Wilayah Persekutuan Labuan juga nanti,” katanya kepada Bernama selepas majlis menandatangani MoU itu di sini pada Khamis.
Sementara itu, Wan Mohd Azizi berkata, pihaknya akan memberi kerjasama dari segi kepakaran, perkhidmatan kesihatan dan perubatan bagi menguruskan pusat dialisis yang akan ditubuhkan itu.
"Kepakaran yang kami ada dapat membantu bangunkan pusat dialisis untuk OKU dan ia (pusat dialisis itu) membuka ruang dialisis untuk pusat pembangunan OKU setempat,” katanya yang berterima kasih kepada Ras Adiba kerana menyokong insiatif penubuhan pusat dialisis itu. - Bernama