Bomba Selangor pantau sembilan lokasi kerap kemalangan

Iklan
Norazam (tengah) ketika memeriksa hos pemadam api di Central I-City Shopping Mall pada Khamis.

SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bersiap sedia untuk mempergiatkan pemantauan di sembilan lokasi yang kerap berlaku kemalangan menjelang Aidilfitri.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, kawasan tersebut melibatkan di Kilometer (KM) 400 hingga KM 450 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS); jalan besar Tanjung Rhu - Tanjung Sepat dan KM 25 hingga KM 40 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala Utara; Jalan Sentosa - Sungai Choh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain itu di Lebuhraya Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) (Setia Alam Link) Bandar Setia Alam; Lebuhraya Shahpadu Bandar Sultan Suleiman, Klang; Lebuhraya Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Ampang dan persimpangan ke Bandar Utama di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP); KM 16 hingga KM 18 ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).

Norazam berkata, kes kemalangan yang berlaku di lokasi-lokasi terbabit biasanya melibatkan kematian atau cedera parah.

Iklan

"Saya juga mengarahkan balai-balai bomba untuk melakukan rondaan berkala di kawasan berkenaan untuk memberikan respon awal jika berlakunya kemalangan.

"Hal ini kerana terdapat peningkatan jumlah kenderaan keluar masuk dan jalan semakin sesak.

Iklan

"Jadi bila ada rondaan ini, mungkin kita dapat beri bantuan segera di lokasi yang terlibat dalam kemalangan," katanya ketika sidang akhbar Kempen Keselamatan Musim Perayaan di Central I-City Shopping Mall di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Norazam turut memaklumkan sebanyak 20 peratus daripada sekitar 1,600 anggota bomba dibenarkan bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri.

"Kita gunakan anggota sedia ada, yang mana jadual cuti akan disusun atur sempena Aidilfitri.

"Walaupun bercuti, mereka masih boleh dipanggil jika berlakunya kejadian yang memerlukan jumlah anggota yang ramai untuk bertugas," katanya.

Pada Khamis, Norazam hadir ke Kempen Keselamatan Musim Perayaan di Central I-City Shopping Mall di sini untuk membuat pemeriksaan keselamatan bangunan tumpuan orang ramai.

Katanya, sekitar 111 hotel dan kompleks beli-belah di Selangor diperiksa untuk memastikan semua premis perniagaan dan penginapan berada dalam keadaan selamat.