PUTRAJAYA - Satu jawatankuasa khas sementara telah ditubuhkan untuk menyegerakan kelulusan permohonan kuota pekerja asing yang masih tertangguh, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.
Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan menghubungi majikan bagi penjadualan semula tarikh temu duga mereka bagi mempercepatkan proses permohonan mereka.
"Proses temuduga majikan akan dilaksanakan di Putrajaya di mana majikan sendiri perlu hadir bagi proses temu duga tersebut dan menandatangani Aku Janji pematuhan perundangan perburuhan yang telah ditetapkan oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Disember lepas, bersetuju untuk pengambilan pekerja warg asiang dalam sektor yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing.
Saravanan berkata, permohonan majikan untuk menggajikan pekerja asing bagi semua sektor pekerjaan telah dibuka pada 15 Februari lepas, namun terdapat permohonan yang tidak dapat diproses kerana tidak memenuhi syarat keperluan pematuhan ratio oleh Agensi Kawal Selia (AKS), ketidakpatuhan kepada perundangan perburuhan serta permohonan tidak lengkap.
Beliau berkata, tiada permohonan secara manual akan diproses oleh KSM dan permohonan kuota pekerja asing hanya boleh diakses melalui https://fwcms.com.my/. - Bernama