PARIT - Kebenaran menyambut Aidilfitri tahun ini mendorong orang ramai membeli keperluan daging segar lebih awal kerana khuatir kehabisan bekalan di pasaran.
Mohd Nizar Mat Saad, 44, dari Puncak Iskandar berkata, ini tahun pertama dia membeli daging lebih awal berbanding sehari sebelum menyambut hari raya.
Langkah itu menurutnya, bagi mengelak bersesak dan berebut bekalan daging memandangkan ramai yang pulang ke kampung menyambut raya.
"Saya beli daging awal kerana bimbang hari akhir berpuasa nanti, ramai yang keluar membeli barang.
"Jadi untuk mengelakkan sesak dan kelam-kabut saya beli barang keperluan lebih awal, malah lebih mudah terutama dalam situasi masih ada penularan Covid-19 ketika ini," katanya ketika ditemui dalam program Pasar Daging Jualan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kluster Padang Ragut Daerah Perak Tengah di Tapak Bandar Universiti di sini pada Khamis.
Program anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak itu dirasmikan Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed, mengumpul 10 kelompok padang ragut menjual daging lembu, kerbau, kambing dan ayam kampung segar pada harga berpatutan.
Suri rumah, Khadijah Ahmad, 56, berkata, pengalaman sebelum ini yang sukar mendapatkan bekalan daging kerana membeli pada saat akhir menyebabkannya keluar membeli barangan keperluan itu lebih awal.
Tambahan pula katanya, harga berpatutan yang ditawarkan di program pasar daging itu membuatnya tidak melepaskan peluang mendapatkan bekalan daging segar.
"Tahun ini semua dah boleh balik beraya, sudah tentulah pasar-pasar nanti ramai orang, kalau lambat sikit takut habis, sebab itulah saya beli keperluan daging lebih awal.
"Anak-anak semua balik dan saya memang merancang untuk masak banyak juadah untuk dimakan pagi raya nanti," katanya.
Pekerja swasta, Abd Rahim Osman, 55, berkesempatan membeli dua kilogram daging lembu, sekilogram tulang lembu dan setengah kilogram hati dari program pasar daging terbabit untuk juadah di pagi raya nanti.
"Saya berkerja dan kekangan waktu membuatkan saya buat persiapan awal. Tiada masalah kalau beli daging awal sebab daging-daging ini dibasuh bersih sebelum dipotong dan dimasukkan ke dalam bekas bersama asam belimbing atau asam keping.
"Ini untuk menjaga kesegaran daging sebelum dapat dimasak pada malam raya nanti," katanya.
Sementara itu Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr Ahmad Shafri Hassan memberi jaminan bekalan daging untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri ini adalah mencukupi.
Katanya, jaminan itu diberikan selepas mendapati negeri ini tidak berdepan sebarang masalah kekurangan daging, setakat ini.
"Kita tiada masalah dari segi bekalan daging, masalahnya cuma dari segi harga kerana sekarang ini komponen makanan ternakan banyak diimport dari luar yang mungkin boleh mempengaruhi harga daging di pasaran.
"Atas faktor itu kita usahakan adakan program jualan seperti ini yang melibatkan pengusaha padang ragut kerana kos pengeluaran di padang ragut lebih rendah menyebabkan mereka boleh menjual harga daging lebih rendah berbanding pasaran," katanya.
Dalam program pasar daging itu, sebanyak 1,710 kilogram daging lembu, kerbau dan kambing disediakan untuk dijual pada harga 35 peratus lebih murah dari pasaran dan memberi manfaat kepada lebih 800 pelanggan.