AMPANG – Sepasang suami isteri berjaya menyelamatkan diri selepas rumah yang didiami mereka di Taman Rasmi Jaya terbakar, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Timbalan Penguasa Bomba, Ariff Mohamed Kassim berkata, mangsa berusia 70 tahun bersama isteri berjaya menyelamatkan diri melalui pintu belakang rumah tersebut.
"Pasangan suami isteri itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Ariff berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut kira-kira jam 1.27 pagi.
"Sepasukan 15 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang dan Pandan Indah bergegas ke lokasi kejadian.
"Sampai di lokasi, kita dapati kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua setengah tingkat di bahagian tingkat bawah. Sebuah kereta yang berada di anjung rumah juga turut terbakar,” katanya.
Beliau berkata, anggota bomba berusaha memadamkan api dengan empat pancutan, dua di bahagian bawah dan dua di dalam rumah di tingkat atas.
"Api dapat dikawal pada jam 1.59 pagi dan padam sepenuhnya pada jam 4.14 pagi. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran ini. Jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.