Kesan lebam bongkar kisah dua beradik didera bapa tiri

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

ALOR SETAR - Kesan lebam pada tangan seorang murid perempuan berusia lapan tahun di sebuah sekolah rendah di Alor Setar membongkar rahsia dia dan adiknya berusia enam tahun menjadi mangsa dera bapa tiri mereka.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, guru murid tersebut kemudian memaklumkan perkara terbabit kepada guru kaunseling dan pentadbiran sekolah sebelum dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Alor Setar.

Iklan
Iklan

Susulan itu menurutnya, JKM Alor Setar membuat laporan polis berhubung kejadian pada Rabu.

Ahmad Shukri Mat Akhir

"Pegawai perubatan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar mengesahkan kecederaan dialami kedua-dua mangsa yang dipercayai akibat dipukul," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, mangsa pertama mengalami luka di bahagian kepala, bengkak serta lebam di kedua-dua belah pipi kiri dan kanan manakala mangsa kedua yang juga adik mangsa pertama pula memaklumkan ditendang oleh bapa tiri di bahagian belakang badan sehingga mengalami kesan lebam.

"Terdapat kesan parut lama di bahagian dahi mangsa kedua kesan dipukul," katanya.

Iklan

Mengulas lanjut, Ahmad Shukri berkata, temubual ke atas kedua-dua mangsa telah dijalankan dan mereka menyatakan telah dipukul oleh ayah tiri mereka.

Menurutnya, keterangan pengadu dan pegawai JKM yang menerima aduan awal juga telah dirakamkan untuk membantu siasatan.

"Polis kini berusaha untuk mengesan dan menangkap suspek berusia 33 tahun bagi membantu siasatan.

"Kertas disiasat di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001," ujarnya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa masih lagi ditempatkan di HSB Alor Setar untuk pemantauan.