SEBERANG JAYA - Hanya 20 peratus atau seramai 670 orang pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dibenarkan bercuti pada Hari Raya Aidilfitri.
Pengarahnya, Saadon Mokhtar berkata, 80 peratus atau seramai 670 orang pegawai dan anggota akan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang bencana pada musim perayaan ini.
Menurutnya, walaupun diberi kebenaran bercuti, namun kesemua pegawai dan anggota terbabit bersedia untuk dipanggil kembali bertugas sekiranya terdapat keperluan yang mendesak.
"Kita mempunyai pegawai dan anggota yang mencukupi untuk bertugas pada musim perayaan ini.
"Malah, persatuan bomba sukarela dan bomba komuniti juga telah memberi jaminan akan menghulurkan bantuan jika berlaku sebarang bencana khususnya kebakaran," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Keselamatan dan Pencegahan Kebakaran sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri di pasar raya Lotus Store Seberang Jaya pada Khamis.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan sijil perakuan bomba selain mengedarkan risalah keselamatan kebakaran kepada orang awam dan melancarkan Op Raya peringkat JBPM Pulau Pinang.
Sementara itu, Saadon berkata, kempen keselamatan dan pencegahan kebakaran kali ini turut memfokuskan tiga aspek atau keperluan penting termasuk keselamatan jalan raya dan keselamatan di air.
Katanya, JBPM Pulau Pinang juga akan memperluaskan lagi skop tindakan kecemasan dengan memberikan perhatian serius terhadap keadaan cuaca yang 'ekstrem' ketika ini.
"Pusat Gerakan Operasi (PGO) sentiasa meneliti ramalan cuaca dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi.
"PGO juga sentiasa peka terhadap kawasan 'hotspot' banjir agar tindakan pantas serta tersusun boleh diambil bagi mengelakkan kemalangan jiwa berlaku," katanya.