KANGAR - Perantau yang ingin pulang ke Perlis bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri dinasihatkan supaya terus mengamalkan kawalan kendiri bagi mengelak penularan wabak Covid-19.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, kerajaan negeri amat menggalakkan masyarakat supaya berbuat demikian walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengumumkan kelonggaran beberapa prosedur operasi standard berhubung Covid-19.
Iklan
Iklan
"Disebabkan sekarang kerajaan dah berikan banyak kelonggaran, jadi penting sekali untuk setiap pihak ada kawalan kendiri bagi mengurangkan berlakunya penularan wabak berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Program Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim di sini malam Khamis.
Pada Rabu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan bahawa berkuat kuasa 1 Mei depan, pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka tidak diwajibkan tetapi adalah atas pilihan individu.
Mengenai program berbuka puasa itu, Azlan berkata, seramai 240 orang anak yatim di sekitar Kangar dipilih untuk diraikan dan menerima zakat hasil sumbangan beberapa pihak.
Beliau berkata, semua penerima dipilih oleh kepimpinan setempat bagi memastikan tiada pihak yang tercicir. - Bernama