"Kita bukan buta sejarah"

Iklan
Kain rentang provokasi yang dipasang petang semalam.

ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diselar kerana cuba memanipulasi kesilapan teknikal perkataan ‘wira Jepun’ untuk meraih populariti politik.

Exco Pelancongan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, Najib sengaja menggambarkan konon Kerajaan Negeri Kedah mengagung-agungkan tentera Jepun yang menjajah negara apabila tugu peringatan yang dibaik pulih itu siap.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia adalah inisiatif Konsulat Jepun yang mahu bahan sejarah itu dipulihara.

"Kita bukan buta sejarah hingga nak agungkan penjajah, Najib yang buta sejarah kerana cuba ambil kesempatan atas kesilapan teknikal. Padahal tugu terbabit wujud sejak 1941 dan dibaik pulih, bukan kerajaan PH yang bina,” katanya, pada sidang media, hari ini.

Iklan

Mohd Asmirul Anuar turut menasihatkan Najib agar memberi tumpuan kepada perbicaraan kes beliau setelah berdepan pelbagai pendakwaan, berbanding mengangkat isu remeh seperti ini.

Kain rentang provokasi sudah ditanggalkan pagi tadi.

"Benda kecil macam ni dimanipulasi, kami sekadar mahu ingatkan generasi muda agar celik sejarah, selain menolak peperangan dan hidup harmoni. Jika ada pihak mainkan sentimen sebegini, rakyat yang rugi,” katanya.

Iklan

Menurutnya, orang ramai harus mengkaji sejarah dan celik maklumat, berbanding membuat kenyataan melulu.

"Saya sudah jelaskan, kami tidak iktiraf askar Jepun sebagai wira. Najib boleh datang jumpa saya jika mahu belajar sejarah Kedah,” katanya.

Semalam, Najib membidas Kedah kerana merasmikan Tugu Wira Jepun, selain mendakwa kerajaan negeri memberi gelaran ‘wira’ kepada askar penjajah yang disifatkan tidak wajar.

Pada masa sama, Mohd Asmirul Anuar kesal dengan tindakan provokasi Pemuda MCA Alor Setar yang memasang kain rentang berbaur perkauman pada pagar tugu terbabit, petang semalam.

"Jangan kaitkan isu ini dengan sentimen perkauman, ini hanya sejarah lalu. Saya beri amaran kepada mereka, jangan ulangi perbuatan ini kerana boleh undang ketegangan kaum. Jika masih berdegil, kita akan buat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, MCA sepatutnya berjumpa dengan pihak terlibat untuk penjelasan, bukan melakukan provokasi.