KUALA LUMPUR - Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengagihkan lebih 2,500 pek bubur lambuk kepada para penumpang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang mula pulang ke kampung halaman bagi meraikan Aidilfitri.
Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha berkata, program penyediaan bubur lambuk merupakan kerjasama kali pertama antara kedua-dua syarikat tersebut.
Menurutnya, bubur lambuk disediakan secara gotong-royong seawal jam 8 pagi pada Rabu untuk diedarkan kepada penumpang ETS di Stesen Kuala Lumpur dan Stesen Sentral Kuala Lumpur bermula jam 2.40 petang pada hari sama.
"Gotong-royong julung kali ini adalah aktiviti istimewa di bulan Ramadan, lebih-lebih lagi diadakan di persekitaran stesen.
"Ia bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim di antara dua organisasi, bahkan dapat berkongsi rezeki dengan penumpang yang sentiasa bersama menyokong kami.”
"Kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada yang meraikan dan semoga perjalanan anda pulang dan kembali berjalan lancar," katanya di Stesen KL Sentral di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat BERNAS, Rozita Ahmad berkata, bubur lambuk tersebut disediakan menggunakan beras putih tempatan dan beras wangi buat para penumpang ETS bawa pulang ke kampung sebagai juadah berbuka puasa.
"Nikmatilah bubur lambuk istimewa kami ini sebagai juadah berbuka puasa nanti.
"Apapun dalam kemeriahan pulang ke kampung halaman masing-masing, keselamatan dan kesihatan diri jangan diabaikan.
"Sentiasa patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi melindungi diri serta keluarga," katanya.