THE Speedy Tigers tetap menimba pengalaman berguna sepanjang empat perlawanan menentang Australia pada Siri Perlawanan Ujian Antarabangsa 2022 di Perth, walaupun gagal mencatat sebarang kemenangan di sana.
Pengendalinya, A Arul Selvaraj bersikap positif dengan aksi dipamerkan Speedy Tigers kerana barisan pemain telah mula merasai bagaimana mereka boleh memberikan tentangan kepada pasukan seperti Australia dari sudut mental serta fizikal.
Arul Selvaraj menyifatkan siri perlawanan ujian tersebut amat penting untuk pasukannya melihat peningkatan demi peningkatan dan bermain dengan empat pasukan terbaik di dunia khususnya dalam menguji cara pemikiran serta keupayaan untuk terus kekal dalam fasa perlawanan.
"Selepas pulang ini jika kami mampu untuk menunjukkan penambahbaikan, pemain pastinya akan ke Piala Asia dengan lebih yakin serta percaya mampu untuk meraih kemenangan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia pada Khamis.
Aksi terakhir perlawanan ujian hari ini menyaksikan Malaysia kecundang 0-3 kepada Australia, dengan kesemua gol lawan diperoleh menerusi pukulan sudut penalti.
Biarpun gagal menyumbat sebarang gol pada separuh masa pertama, Australia memecah kebuntuan pada babak kedua menerusi Jeremy Hayward pada minit ke-34 serta dua gol oleh Ky Willott masing-masing pada minit ke-37 dan 54.
Mengulas mengenai persembahan pasukan dalam aksi terakhir itu, Arul Selvaraj berkata, banyak kerja yang perlu dilakukan dari sudut bertahan dalam kawasan sendiri dengan menggunakan lebih banyak kekuatan badan serta otot kaki.
"Perlawanan terakhir hari ini, kami tewas 0-3 dan semuanya menerusi gol pukulan sudut penalti, dengan Australia memiliki 12 pukulan sudut penalti.
"Banyak perkara yang kami pelajari dan perlu diperbaiki seperti kekuatan mental untuk berlawan dan kekuatan kaki untuk mengejar pemain Australia,” katanya.
Dalam pada itu, sesi penalti ‘shoot-out’ terakhir hari ini turut menyaksikan Malaysia tewas 3-4 kepada Australia.
Malaysia memulakan kempen siri perlawanan ujian menentang Australia pada Sabtu lepas dengan kekalahan 0-3 dan tewas dalam dua lagi aksi seterusnya iaitu 0-7 sehari kemudian dan 0-5, Selasa lepas.
Skuad kebangsaan akan berlepas pulang ke tanah air malam ini dan dijangka tiba pagi esok. - Bernama