PENGENDALI Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain, akui bakal berhadapan tugas sukar apabila bertemu Negeri Sembilan FC (NSFC), dalam aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.
Ini kerana skuad Hobin Jang Hobin itu, telah menunjukkan aksi cemerlang dan konsisten apabila mencatat tiga kemenangan dan seri dua perlawanan, dalam saingan Liga Super musim ini.
Menurut Nafuzi, walaupun pasukan Negeri Sembilan merupakan pendatang baharu Liga Super musim ini, kekuatan mereka digeruni lawan kerana dibarisi tonggak import yang berkualiti, serta pemain tempatan yang berpengalaman.
"Saya semestinya menjangkakan perlawanan yang sengit kerana skuad kendalian ketua jurulatih berpengalaman, K Devan sangat mantap dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan di Liga Super.
"Ia bukan kerja mudah dan pastinya pemain saya bakal dipaksa bekerja lebih keras untuk aksi kalah mati malam esok,” katanya kepada pemberita.
Bagaimanapun di sebalik cabaran tersebut, pengendali muda kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu tetap positif dan percaya dengan keupayaan anak buahnya, untuk memperagakan persembahan terbaik di laman sendiri malam esok.
Katanya, peningkatan prestasi pemain TFC pada dua perlawanan sebelum ini memberi petanda baik bahawa rentak kemenangan skuad Penyu akan berterusan.
"Jentera tengah TFC berfungsi dengan baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Malah pemain muda pemain tempatan juga membalas kepercayaan saya dengan baik, apabila diberi peluang beraksi di padang.
"Penyerang kita, Kpah Sherman juga sudah dapat beraksi Jumaat ini selepas melalui penggantungan perlawanan, untuk memberi kita pilihan kesebelasan utama yang bakal diturunkan nanti,” katanya yang mengingatkan anak buahnya supaya berwaspada dengan ketajaman serangan Matheus Alves dan Adetu Kossi. - BERNAMA