Rindu anak perempuan, takut hilang selamanya

Iklan
Muhammad Aiman meluangkan masa lapang di surau dengan berzikir.

SHAH ALAM - Ketika umat Islam ternanti-nanti saat untuk bersama keluarga tersayang bagi menyambut Aidilfitri beberapa hari lagi, lain pula kisah buat penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Lembaga Zakat Selangor Bait Al Mawaddah di sini.

Salah seorang penghuni juga pesara tentera yang dikenali sebagai Aiman hanya mampu merindui anak perempuannya yang terpisah sejak tiga tahun lalu tanpa sebarang khabar berita.

Iklan
Iklan

Lebih mendukacitakan, lelaki berusia 60 tahun yang menghidap strok separuh badan itu hilang upaya menguruskan dua lagi anak lelaki sehingga terpaksa ditempatkan di pusat tahfiz berdekatan di bawah tanggungan Lembaga Zakat Selangor.

"Segala-galanya berubah bila saya kena strok tiga tahun lalu. Isteri meninggalkan saya dengan membawa seorang anak perempuan kami yang berumur lapan hingga 10 tahun.

Iklan

"Saya tidak tahu anak perempuan saya ini ada di mana sekarang, memang rindu sangat lebih-lebih lagi raya tak lama. Dua lagi anak lelaki ada di tahfiz. Saya harap dapat beraya bersama mereka. Hanya berjumpa mereka semasa awal saya masuk di sini.

"Nak uruskan diri sendiri pun tak mampu, semua harap belas ihsan orang. Saya reda dengan takdir namun berharap sangat dapat raya dengan anak-anak. Saya sunyi, sedih,” katanya.

Iklan

Menurut Ketua Pusat Jagaan Warga Emas, Bait Al-Mawaddah, Siti Norkhayati Rabani, pihaknya sedang mencuba sedaya upaya bagi memastikan Aiman dapat menyambut Aidilfitri tahun ini bersama dua anak lelakinya itu.

"Kami cuba sebaiknya untuk menguruskan jadual agar mereka anak beranak dapat berjumpa semasa Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya.

Sementara itu, penghuni lain yang ingin dikenali sebagai Sharifah, 60, berkata, disebabkan anaknya yang menuntut di Ipoh, Perak mempunyai masalah kewangan, mereka tidak dapat meraikan perayaan bersama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Sharifah ketika membuat kuih raya sebagai persiapan Hari Raya Aidilfitri.

"Sejak status saya ibarat bergantung tidak bertali oleh suami, saya tidak pernah berniat untuk menyusahkan adik beradik saya yang lain. Saya membesarkan anak sendiri dengan kerja di kilang. Namun, terpaksa berhenti sebab mempunyai masalah kesihatan seperti mata kurang jelas dan pergerakan fizikal yang lemah.

Tambah Sharifah, sejak memasuki rumah jagaan pada Oktober 2021, dia masih belum berpeluang untuk bertemu dengan anak lelakinya itu disebabkan kekangan kewangan.