SHAH ALAM - Ibu bapa yang ditinggalkan anak-anak dalam tempoh yang lama di pusat jagaan orang-orang tua akan menghadapi kesan negatif antaranya berdepan dengan tekanan emosi yang tinggi.
Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Fauziah Mohd Saad berkata, ini kerana sebagai ibu bapa yang berada di penghujung usia, mereka sememangnya memerlukan anak-anak untuk berada di sisi meskipun dalam masa yang singkat.
"Apabila mereka mengalami kerinduan, ia akan melibatkan keadaan kesihatan mental mereka, dikhuatiri ibu bapa mereka mengalami depresi. Apabila mengalami perkara ini, mereka tidak mahu mengikuti rutin harian lagi.
"Walaupun kita faham, ramai tidak mampu jaga ibu bapa, tetapi mungkin dalam setahun lawatlah beberapa kali terutama Aidilfitri. Inilah masa kita dapat meluangkan masa berjumpa ibu bapa.
"Apabila depresi, dalam masa sama mempunyai penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi. Ini menyebabkan mereka tidak mahu makan ubat. Jadi, kita risau kualiti kehidupan akan menjadi lebih buruk,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, beliau berkata, anak-anak disaran untuk meluangkan masa minimum antara satu hingga dua jam bersama dengan ibu bapa di rumah jagaan.
"Ia dapat mengurangkan kerinduan ibu ayah mereka. Di rumah orang tua ini, apabila anak-anak hadir melawat, ia akan meningkatkan keteguhan iaitu hati ibu bapa mereka.
"Walaupun sudah tidak duduk sekali, tetapi anak-anak perlu sentiasa memberi sokongan kepada ibu dan ayah mereka yang berada di situ (rumah orang tua).
"Apabila ibu bapa merasai mereka disayangi, maka akan meningkatkan jati diri orang tua ini. Jadi, mereka (ibu bapa) boleh berdikari dan tidak bergantung kepada pusat jagaan semata-mata sahaja kerana gembira ada sokongan oleh anak-anak,” ujarnya.
Jelasnya, sokongan daripada ahli keluarga adalah paling penting dalam kehidupan seseorang.
"Mereka juga akan lebih berdikari, makan ubat dan bersedia mengikuti program yang disediakan oleh pusat jagaan. Jangan abaikan mereka. Nanti kesan lain yang tiba,” jelasnya.