SEPERTI kelaziman, beberapa hari menjelang Syawal maka berduyun-duyunlah kenderaan meninggalkan ibu kota.
Ada yang bertolak pada siang hari kerana lebih yakin memandu ketika keadaan sekeliling terang dan tidak kurang juga ada yang memilih waktu malam untuk memulakan perjalanan kerana suasananya lebih nyaman.
Sepertimana dilaporkan di media, pergerakan pulang ke kampung besar-besaran dijangka bermula esok dan pihak berkuasa menjangkakan kira-kira 14 juta kenderaan berada di atas jalan raya.
Justeru, Merak Jalanan ingin berpesan kepada anda yang akan pulang beraya sama ada hari ini, esok atau lusa - pastikan kenderaan anda ‘sihat' dan cukup minyak.
Touch & Go pun kena ada duit dan Smart Tag kena ada bateri. Pastikan juga semua penumpang tak kiralah kecil atau besar, tua atau muda tidak mengabaikan pemakaian tali pinggang keselamatan.
Lebih penting, bertolak ansur dengan pemandu lain serta memandu di lorong yang betul selain berhenti dan tidur seketika jika mengantuk.
Ingat juga pesan pihak berkuasa bahawa enam kesalahan utama melalui Op Selamat 18 sempena Aidilfitri bermula hari ini hingga 8 Mei depan, tidak akan lagi dikenakan kompaun, sebaliknya perlu menyelesaikan kes itu di mahkamah.
Enam kesalahan itu ialah memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
Apa pun, peluang pulang ke kampung tahun ini selepas dua tahun negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat covid-19 perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.
Jangan biar keterujaan bertukar tragedi dan jangan pula jadikan lebuh raya sebagai tempat mengumpul saman. Paling penting, pandu secara berhemah dan patuhi undang-undang lalu lintas.