'Makin banyak daun kayu, makin sedap'

Iklan
Nur Syafiqah Sabaruddin, 19 menunjukkan bubur lambuk asli Terengganu yang dihasilkan sempena Hari KRT Kg Laut untuk diagih kepada penduduk setempat.

KUALA TERENGGANU - Bubur lambuk merupakan hidangan sihat yang sering dinikmati pada bulan Ramadan namun kaedah pembuatannya berbeza-beza mengikut kepakaran individu dan kelaziman di sesebuah negeri.

Jika di Terengganu, resipi asal bubur lambuk tradisonal yang diwarisi turun-temurun sudah pasti mempunyai rasa yang berbeza berbanding di tempat lain kerana ia 'kaya' dengan ulam-ulaman atau daun kayu.

Iklan
Iklan

Berkongsi resipi pembuatan bubur lambuk asli Terengganu, Che Mohd Zulkarnain Abdul Wahab, 48, berkata, keaslian rasa bubur lambuk Terengganu akan berubah sekiranya resipi asal diolah dengan ditambah bahan lain.

"Ramuan asal bubur lambuk Terengganu yang asli hanya menggunakan ikan dan daun kayu sebagai bahan asas.

Iklan

"Ada sesetegah orang tidak gemarkan daun kayu tetapi disebabkan daun kayulah masakan ini dinamakan bubur lambuk. Semakin banyak daun kayu makin sedap bubur lambuk," katanya ketika ditemui pada agihan bubur lambuk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Laut di sini, baru-baru ini.

Che Mohd Zulkarnain

Che Mohd Zulkarnain atau lebih mesra digelar Che Lat berkata, antara daun kayu yang digunakan ialah pucuk midin, daun cangkok manis, daun gemunggal (moringa), kangkung serta beberapa jenis lagi daun kayu yang agak sukar diperoleh.

Iklan

Katanya, selain ikan dan daun kayu, bubur lambuk asli Terengganu turut menggunakan rempah ratus lain seperti bawang, lada hitam dan ramuan biasa yang perlu diadun bersama untuk menghasilkan rasa yang enak.

Katanya, proses menghasilkan bubur lambuk agak rumit bermula daripada menyiang ikan sebelum ia dikukus dan dibuang duri di samping membersihkan daun kayu dan ulaman.

"Sebab itulah untuk menghasilkan bubur lambuk dalam kuantiti banyak memerlukan kerjasama ramai.

"Kalau nak mula memasak dalam jam 8 hingga 9 pagi, bahan-bahan untuk membuat bubur lambuk sudah disiapkan pada sebelah malam," katanya yang berpengalaman menghasilkan bubur lambuk selama 20 tahun.

Menurut Che Mohd Zulkarnain, antara ramuan rahsia yang menjamin keaslian dan keenakan bubur lambuk tradisional Terengganu ialah menggunakan ikan selayang atau dicampur bersama ikan selar.

"Bukan tidak boleh guna ikan lain tetapi rasanya tak sama. Kemanisan yang ada pada ikan selayang menjadikan bubur lambuk ini lebih sedap.

"Selain itu, campuran ubi keledek, santan juga memainkan peranan. Ada juga bubur lambuk yang tidak guna santan, ia digelar bubur pedas. Bubur pedas ni asalnya dari Terengganu juga tetapi ia tidak perlu guna santan kerana ia lebihkan lada hitam dan bawang," katanya.

Che Mohd Zulkarnain yang berasal dari Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga di sini, mula belajar membuat bubur lambuk sejak kecil dengan mengikuti ibunya, Salimah Endut, 89, memasak makanan itu di kawasan kampung terutama pada bulan Ramadan.

Katanya, resipi digunakan ibunya diwarisi turun-temurun daripada neneknya di mana resipi asalnya dipercayai berusia lebih satu abad.

Sementara itu, Pengerusi KRT Kampung Laut, Mohd Nor Mohd Ariffin berkata, lebih 1,500 bekas bubur lambuk menggunakan 20 kilogram beras dihasilkan untuk diagihkan kepada penduduk setempat.

"Sebanyak lapan periuk digunakan untuk memasak bubur lambuk sempena Hari KRT untuk diagihkan kepada 500 rumah manakala 1,000 bekas lagi diagih bagi penduduk dijalanan di Kampung Laut," katanya.