SUNGAI PETANI – Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Bedong teruja menjadi tetamu jemputan Sambutan Hari Polis ke-212 peringkat Daerah Kuala Muda sekali gus menjadi penerima surat penghargaan termuda, hari ini.
Muhammad Ihsan Muhd Rahim, 14, gembira apabila namanya dipanggil juruacara bagi menerima surat penghargaan kategori orang awam bersama 10 penerima lain di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.
Menurutnya, dia tidak menyangka tindakan yang dilakukan dengan memberi maklumat kepada pihak berkuasa berhubung kegiatan jenayah, dihargai dalam majlis sedemikian.
"Saya pernah beri maklumat dan bantu pihak polis tumpaskan kegiatan jenayah di sini tapi tak sangka akan dijemput naik ke pentas,” katanya.
Menurut Muhammad Ihsan, ini merupakan kali pertama diraikan pihak berkuasa dan berharap agar generasi muda yang lain turut melakukan perkara sama sekiranya berdepan situasi jenayah.
"Saya harap semua orang boleh buat benda sama kerana kita semua ada telefon bimbit, jadi gunakan ke arah kebaikan. Bukan sahaja boleh tolong polis tangkap orang jahat tapi kawasan persekitaran juga bebas jenayah,” katanya.
Beliau menerima surat penghargaan diserahkan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah.
Dalam majlis sama, seramai 44 anggota pelbagai pangkat turut menerima surat penghargaan yang disampaikan Adzli.
Adzli turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang meraikan sambutan berkenaan termasuk menghantar pelbagai jenis kek sebagai tanda penghargaan.
Turut serta Adun Bukit Selambau merangkap Exco Kerajaan Negeri, R Summugam; Adun Tanjung Dawai, Ustaz Hanif Ghazali dan Pegawai Daerah Kuala Muda, Md Nordin Yahya.