SHAH ALAM - Maxis Bhd (Maxis) mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah pada suku pertama tahun 2022 iaitu sebanyak RM298 juta, berbanding tahun sebelum berikutan pertumbuhan kukuh dalam segmen gentian dan perusahaan serta pelaburan yang lebih tinggi dalam perniagaan mudah alih.
Bagaimanapun pendapatan syarikat berkenaan meningkat kepada RM2.03 juta, naik tiga peratus, dengan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) juga stabil iaitu sebanyak RM930 juta pada suku pertama tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maxis, Gokhan Ogut berkata, dengan permulaan yang kukuh bagi tahun ini, prestasi daya tahan syarikat telekomunikasi itu jelas menunjukkan bahawa strategi konvergennya berada di landasan yang betul.
"Keutamaan kami adalah untuk meneruskan penawaran rangkaian konvergen yang hebat, serta pengalaman yang tiada tandingan untuk semua pelanggan.
"Kami komited untuk membina, dan juga menghubungkan komuniti untuk masa depan digital negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Maxis berkata, perbelanjaan modal bagi suku terbabit berjumlah RM171 juta, meningkat 25.7 peratus tahun ke tahun.
Katanya, ia berikutan apabila syarikat tersebut terus melabur dengan banyak untuk mengukuhkan akses dan platformnya untuk menyampaikan penyelesaian perusahaan, serta mengimbangi semula kapasiti.
"Aliran tunai bebas operasi pula, dinormalisasi untuk Pemberian Perkhidmatan Sejagat sebanyak RM185 juta, kekal teguh pada RM669 juta, meningkat 11.3 peratus tahun ke tahun, didorong oleh tumpuan yang kuat pada inisiatif modal kerja dan pengurusan aliran tunai,” katanya.
Melangkah ke hadapan, Maxis berkata, pihaknya akan memantau dan menilai dengan teliti kesan penyertaan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd, pelancaran komersial 5G dan Covid-19.
Bagaimanapun, katanya, butiran pelancaran 5G komersial kekal dalam rundingan di seluruh industri dan apabila dimuktamadkan, boleh menjejaskan pendekatan pelaksanaan, garis masa dan prestasi kewangan masa hadapan kumpulan tersebut.
"Ini kerana kami menilai impak berdasarkan maklumat yang ada,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Maxis turut memaklumkan dividen interim sebanyak lima sen sesaham bagi suku berkenaan.