SHAH ALAM - Pakar kesihatan menjangkakan Malaysia mampu beralih ke fasa endemik dalam tempoh dua atau tiga bulan sekiranya tahap jangkitan dalam komuniti tidak melonjak tinggi.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Akademi Perubatan Pekerjaan dan Persekitaran Malaysia, Prof Madya Dr Marzuki Isahak berkata, sebarang pengumuman untuk peralihan tersebut juga bergantung kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menjadi badan bertanggungjawab dalam menentukan dunia sudah berada dalam masa endemik.
"Tidak ada orang tahu bila tarikhnya sebab endemik itu hanya boleh diumumkan oleh WHO yang mana mereka akan tentukan bahawa Covid-19 ini sudah jadi endemik dalam masyarakat.
"Kalau ikut pakar epidemiologi mungkin dalam dua atau tiga bulan untuk dunia beralih ke endemik sepenuhnya. Selepas itu, barulah Malaysia boleh umumkan perkara sama.
"Saya menjangkakan kita akan beralih ke fasa endemik sepenuhnya dalam beberapa bulan akan datang jika kes Covid-19 dalam kalangan komuniti adalah stabil. Beberapa negara luar dan Malaysia sendiri telah melonggarkan SOP dalam langkah awal menuju ke endemik," katanya kepada Sinar Harian.
Pada Rabu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan beberapa kelonggaran lagi dalam prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di negara ini dalam fasa peralihan ke endemik.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan faktor untuk beralih ke fasa endemik dinilai daripada beberapa faktor yang telah ditetapkan.
"Apabila sudah diumumkan endemik, tak semestinya penyakit itu tidak berbahaya. Seperti HIV juga adalah endemik, tetapi masih boleh menyebabkan kematian.
"Endemik ini biasanya kes tersebut berada dalam keadaan stabil maksudnya tidak lagi naik secara mendadak. Dalam termanya adalah 'regularly found among the particular people of certain area'.
"Namun, harus diingat masih boleh berlaku epidemik dalam endemik. Epidemik ini apabila wujud 'outbreak' dalam tempoh endemik iaitu peningkatan kes dalam tempoh tersebut," katanya.