MEF rayu kebenaran khas guna khidmat pelarian, pekerja tanpa dokumen

Iklan
Syed Hussain

KUALA LUMPUR - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mencadangkan agar kebenaran khas diberikan bagi penggunaan tenaga kerja dalam kalangan pelarian, pekerja asing tanpa izin atau dokumen serta banduan membabitkan kesalahan kecil, untuk menampung kekurangan pekerja asing ketika ini.

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, pelarian atau pekerja terbabit yang mempunyai kebenaran khas kerajaan itu boleh bekerja terus bagi mengisi kekurangan sedia ada sementara menunggu ketibaan pekerja asing.

Iklan
Iklan

"Industri perladangan misalnya mengalami kerugian lebih daripada RM30 bilion akibat kekurangan pekerja pemetik buah atau penuai. Kekurangan pekerja itu menyebabkan kerugian berbilion-bilion ringgit apabila buah-buah sawit yang masak tidak dapat dituai untuk dijadikan minyak.

"Kekurangan sama turut dialami oleh sektor-sektor lain seperti pembuatan, perkhidmatan runcit pelancongan dan pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Menurut kenyataan itu, para majikan berdepan masalah kekurangan pekerja asing yang ketara akibat langkah pembekuan khidmat pekerja asing baharu ketika tempoh pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021 selain penutupan sempadan Malaysia.

Sejak pertengahan Februari lalu, kerajaan bertindak menarik balik pembekuan pengambilan pekerja asing, namun proses permohonan dan kelulusan masih belum lancar dan tiada sebarang pekerja asing baharu yang dibawa masuk setakat ini.

Iklan

Syed Hussain berkata, laporan menyatakan terdapat kira-kira 168,000 pelarian yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dengan lebih 60 peratus daripadanya berpotensi untuk bekerja.

Beliau berkata, kalangan masyarakat perniagaan Malaysia telah membelanjakan banyak masa serta sumber untuk mengisi kekurangan itu yang terbukti masih belum membuahkan hasil.

"Sejajar dengan peningkatan permintaan dunia terhadap produk dan perkhidmatan Malaysia, sebarang kelewatan adalah kerugian kepada perniagaan dan kerajaan. Majikan memerlukan pekerja baharu dengan segera untuk membantu usaha pemulihan perniagaan masing-masing.

"Kita perlu mengenal pasti penyelesaian segera bagi menampung keperluan sehinggalah semua isu berkaitan khidmat pekerja asing ini dapat diselesaikan,” katanya. - Bernama