KAJANG - Seorang wanita di sini mencari adik lelakinya bagi menguruskan dokumentasi anak saudara yang kini berada di bawah jagaannya.
Salma Dollah, 49, berkata, adiknya, Ismail Dollah, 47, meninggalkan anak lelaki, Syarmir Ismail, 6, pada 26 November 2017 untuk dijaga selepas berpisah dengan isteri yang merupakan warganegara Laos.
Menurutnya, Syarmir diserahkan ketika berusia sebulan bersama sijil kelahiran Thailand sewaktu dia (Salma) tinggal di Pasir Mas, Kelantan dan kini menetap di Semenyih.
"Ismail janji mahu uruskan dokumen anaknya menyebabkan saya hanya menunggu, tetapi sehingga kini dia tidak berbuat demikian sedangkan anak sudah mula bersekolah tahun depan.
"Risau anak masih tiada dokumen, saya cuba uruskan sendiri dengan merujuk ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) namun perlu ikut beberapa proses bagi tujuan tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Mengulas lanjut Salma berkata, kali terakhir dia bertemu dengan adiknya pada 2019 sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Selepas itu, saya gagal berhubung dengannya selepas nombor telefon yang digunakan tidak lagi aktif.
"Saya juga ada bertanyakan dengan adik-beradik lain, namun tiada yang tahu keberadaan Ismail. Kami tidak tahu sama ada dia masih hidup atau telah meninggal dunia," katanya.
Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai Ismail boleh menghubunginya di talian 014-2663506.