SIBU - Laungan azan subuh kedengaran dari Masjid Al-Qadim di sini menjadi detik bersejarah buat umat Islam di bandar Sibu kerana ia menandakan pembukaan semula masjid berusia lebih sekurun itu setelah lima tahun ditutup untuk kerja-kerja pemulihan.
Ini sesuatu yang dinanti-nantikan selepas masjid tertua di Sarawak itu ditutup sejak 2017 dan Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka, Dr Annuar Rapaee dalam hantaran di laman Facebooknya berkata, atas sebab-sebab keselamatan, pihak Jawatankuasa Pengurusan Masjid mengehadkan jumlah jemaah kepada hanya 150 orang pada satu-satu masa meskipun ia mampu menampung 500 jemaah.
"Selamat kembali bersolat di Masjid Al-Qadim, masjid tertua di Sarawak!” katanya dalam hantaran tersebut.
Selain digunakan untuk menunaikan solat wajib lima waktu, masjid berusia 161 tahun itu yang berjaya dibaik pulih mengikut reka bentuk asal dijangka mampu menarik kedatangan pelancong ke Sibu.
Masjid tersebut yang menjadi pusat ibadah penduduk Kampung Nyabor suatu ketika dahulu dibina secara gotong-royong oleh seorang ulama dikenali sebagai Abdul Salam Minangkabau berasal dari Sumatera, Indonesia dengan penduduk kampung ketika pengembangan agama Islam di Sibu sekitar 1861.
Masjid Al-Qadim dikatakan seakan-akan menyerupai reka bentuk Masjid Agung Demak yang juga masjid tertua di Indonesia dipercayai didirikan sekitar 1466 dengan persamaan ketara terletak pada 'Tiang Empat' yang juga tiang utama masjid dan reka bentuk bumbungnya.
Kerja-kerja baik pulih dan pemuliharaan masjid yang dibina menggunakan kayu belian terbahagi kepada dua fasa, yang mana fasa pertama melibatkan bumbung dan struktur luaran manakala fasa kedua merangkumi bahagian dalaman menelan kos RM2.2 juta.
Pemilihan kontraktor dilakukan dengan teliti atas nasihat Jabatan Muzium Sarawak, Jabatan Kerja Raya dan konsultan utama projek, University Of Technology Sarawak (UTS). Pihak kontraktor telah diminta menjalani kursus khas di Terengganu untuk memastikan kerja-kerja mereka mematuhi aspek ditetapkan.
Dr Annuar yang terlibat secara langsung dalam usaha itu berkata, semua strukturnya diperbuat daripada kayu belian dan mana-mana struktur yang dirobohkan sebelum ini telah dibina semula termasuk menara tempat melaungkan azan.
Pintu-pintu utama diperbuat daripada kayu jati yang ditempah khas dari Indonesia serta diukir menyerupai pintu Masjid Nabawi di Madinah bagi menyerlahkan lagi keunikan masjid tersebut.
Dr Annuar berkata, bahagian siling juga telah ditinggikan sepertimana reka bentuk asal yang memberi ruang lebih kepada pengudaraan dan dipasang serta dilapisi dengan tikar-tikar buluh.
Bahagian dalaman juga dihiasi tulisan seni khat dan ayat-ayat suci al-Quran yang diukir di atas kayu manakala lantai yang sebelum ini dipasang jubin telah diganti semula dengan papan belian sepertimana keadaan asalnya.
Proses baik pulih adalah berpandukan kepada rekod sejarah, termasuk gambar lama dan maklumat diperolehi daripada penduduk asal kampung di sekitar masjid tersebut ketika dulu.
Selain itu, sebuah beduk ditempah khas dari Jabaran, Indonesia ditempatkan di satu sudut ruang belakang masjid yang akan dipalu setiap kali masuknya waktu solat wajib dan untuk memastikan keselesaan para jemaah menunaikan solat, masjid itu dilengkapi dengan penghawa dingin sepenuhnya.
"Kewujudan masjid lama yang telah diwartakan sebagai bangunan warisan di Sarawak pada 2012 menjadi simbol kebanggaan umat Islam di Sibu, selain menjadi mercu tanda pelancongan terkemuka di wilayah tengah negeri Sarawak ini,” tambahnya.- Bernama