MEH kerjasama perluas pasaran produk halal

Iklan
Syed Hamid (kiri) dan Hussamuddin selepas menandatangani plakad simbolik pelancaran logo 'Sedar Halal yang diadakan di Karangkraf pada Khamis.

SHAH ALAM – Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawanan Ummah Malaysia (MEH) akan bekerjasama dengan kerajaan dan pemain industri bagi meluaskan pasaran produk halal di Malaysia.

Pengerusi World Islamic Economic Forum (WIEF) Foundation, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, pihak kerajaan dan industri perlu mengambil inisiatif menjamin bekalan makanan halal untuk pasaran ummah (Halal Food Security).

Iklan
Iklan

Menurut beliau, buat permulaan, MEH akan memulakan inisiatif dengan membangunkan pusat sembelihan ayam dan projek ladang halal dalam waktu terdekat.

"Tujuan utama kempen berkenaan digerakkan adalah membuktikan bahawa muslim di negara ini mempunyai banyak pilihan untuk mendapatkan produk dan barangan halal yang dikeluarkan oleh syarikat milik orang Islam,” katanya kepada Sinar Harian selepas melancarkan logo rasmi Kempen Kesedaran Halal ‘Sedar Halal’ di Karangkraf pada Khamis.

Iklan

Turut hadir Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Setiausaha Agung MEH, Dr Helmi Ibrahim.

Syed Hamid yang juga pengerusi kempen berkenaan berkata, sebagai seorang muslim salah satu perkara yang penting untuk menentukan jasad dan jiwa bersih ialah makan makanan yang halal.

Iklan

"Halal ini bukan sahaja melibatkan makanan bahkan ianya meliputi pengeluaran produk yang diusahakan oleh orang Islam.

"Sebagai contoh bidang kosmetik dan fesyen bisnes makin bertambah tapi bidang perniagaan dan perusahaannya bukan dikuasai oleh kita.

"Jadi dengan adanya kesedaran ini, kita akan membeli produk halal yang secara tidak langsung akan memajukan umat Islam,” katanya.

Jelasnya, MEH akan membantu usahawan asnaf, mikro dan industri kecil dan sederhana (IKS) dalam membangunkan industri halalan toyyiban.

"Kita mahu mewujudkan rangkaian dengan semua NGO Islam yang lain bagi menyelaras aktiviti dan program bersama rakan strategik kempen ini iaitu Rasuah Busters,” katanya.

Pada 7 April lalu, Dana Waqaf Halal dan MEH Halal TV telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.