KKM sedia maklum hasil siasatan kematian pesakit Covid-19 di HTAR

Iklan
Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) akan menghubungi waris pesakit wanita yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang tahun lepas bagi memaklumkan hasil siasatan susulan aduan dibuat keluarga mendiang.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, pesakit berusia 69 tahun itu mempunyai pelbagai penyakit komorbid telah mendapatkan rawatan di HTAR pada 25 Oktober 2021 dengan diagnosis Covid-19 Kategori 4.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun pesakit itu mengalami komplikasi susulan jangkitan Covid-19 dan meninggal dunia pada 28 November 2021. KKM bersimpati dengan pemergian mendiang dan mengucapkan takziah kepada keluarga beliau,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, waris mendiang telah mengemukakan aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam pada 13 Januari lalu dan pihak HTAR menyambut baik aduan tersebut serta menjalankan siasatan di pelbagai peringkat berdasarkan garis panduan sedia ada di KKM.

Iklan

Bagaimanapun, Dr Sha’ari berkata, setakat ini waris mendiang belum bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan pihak HTAR.

Katanya, waris mendiang boleh menghubungi pihak HTAR, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor atau Bahagian Amalan Perubatan KKM sekiranya memerlukan maklumat lanjut berhubung proses pengurusan aduan berkenaan.

Iklan

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menerusi surat kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bertarikh 26 April memohon siasatan dan maklum balas laporan mengenai kes kematian berkenaan. - Bernama