Sindiket tawaran kerja dalam talian tumpas

Iklan

KUALA LUMPUR - Penahanan sembilan individu warga tempatan membawa kepada pembongkaran satu sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian menerusi serbuan yang dijalankan di dua lokasi di Lembah Klang pada Rabu.

Serbuan yang dijalankan Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman itu sekaligus berjaya menumpaskan sindiket yang dipercayai bergiat aktif sejak Mac 2020.

Iklan
Iklan

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din berkata, kesemua suspek terdiri daripada tujuh lelaki dan dua perempuan warga tempatan yang berusia 20 hingga 31 tahun.

Menurutnya, kesemua suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti penipuan tawaran pekerjaan di Australia.

Iklan

"Modus operandi yang dikesan antaranya sindiket dipercayai menggunakan kemudahan internet dan media sosial seperti WhatsApp, Instagram dan Facebook untuk menjalankan kegiatan.

"Selain media sosial, sindiket turut mempunyai laman sesawang sendiri yang mana di dalam laman sesawang ini mempunyai cara untuk membuat permohonan visa kerja di Australia," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Kamarudin berkata, bagi mengelakkan aktiviti dikesan pihak berkuasa, sindiket dipercayai akan beberapa kali menukar maklumat perniagaan.

"Sindiket didapati telah beberapa kali menukar nama syarikat, akaun Facebook, laman sesawang, namun reka bentuk template dalam e-mel, invois serta media sosial masih mengekalkan format yang sama.

"Sindiket akan mengenakan sejumlah bayaran sebanyak RM1,400 untuk kos proses dan tangkap layar dokumen permohonan akan ditunjukkan kepada mangsa bagi meyakinkan mereka," katanya.

Tambah beliau, maklumat mangsa kemudian akan dimasukkan dalam satu permohonan untuk pembukaan akaun.

"Bagaimanapun permohonan berkenaan hanya palsu semata-mata di mana permohonan sebenar tidak dibuat.

"Selepas mangsa membuat bayaran, mangsa akan menerima dokumen palsu antaranya surat visa, label visa dan invois pembayaran cukai dengan menggunakan kepala surat kerajaan Australia," katanya.

Kamarudin berkata, siasatan dijalankan mendapati sindiket ini menyasarkan warga asing yang menetap di Malaysia.

"Pemeriksaan yang dijalankan turut mendapati terdapat 658 permohonan yang masih dalam proses dan kebanyakan mereka merupakan warga tempatan, Bangladesh dan Pakistan.

"Sehingga kini, terdapat 1,023 individu telah membuat aduan kepada pihak kedutaan berkaitan penipuan ini, sejumlah 28 laporan polis telah diterima dengan melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM155,472," katanya.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) dan Akta Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

"Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu dengan agensi berkaitan sebelum memohon sebarang tawaran kerja.

"Sekiranya menjadi mangsa penipuan segera lapor kepada polis untuk memastikan tindakan segera dapat dijalankan dalam menumpaskan kegiatan ini," katanya.