BUTTERWORTH - Pemilik kedai peralatan komunikasi didenda RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan menjual peralatan yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Bagi pertuduhan pertama, Hakim Norhayati Mohamad Yunus menjatuhkan hukuman denda RM8,000 terhadap Wang Wan Ling, 52, selaku orang kena saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah memiliki peralatan komunikasi tidak diperakui.
Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa memiliki sembilan wireless AV sender jenama Pakite model PAT225 dan tujuh wireless AV sender jenama Pakite PAT 535 tidak diperakui sebagaimana dikehendaki di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 3.09 petang di sebuah kedai di Jalan Perai Jaya 2, Bandar Perai Jaya pada 10 September 2021.
Dalam kamar berasingan, Hakim Noor Aini Yusof menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap Wan Ling selepas dia mengaku bersalah menjual peralatan komunikasi tidak diperakui.
Wan Ling didakwa menjual satu RCA Wireless AV sender jenama Pakite model PAT535 tidak diperakui sebagaimana dikehendaki di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 kepada pegawai operasi ketika operasi penyamaran di kedai sama pada jam 11 pagi, 9 Mac 2020.
Kedua-dua pertuduhan itu dibaca bersama Peraturan 16 (3) Peraturan-peraturan sama, yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-peraturan sama iaitu denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SKMM, Fazril Sani Mohamad Fadzil manakala tertuduh diwakili peguam, Low She Warne.
Tertuduh kemudian membayar denda yang dikenakan terhadapnya.