ALOR SETAR - Kerajaan negeri disaran menyalurkan peruntukan khas kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif di negeri ini untuk menggerakkan organisasi dalam membantu masyarakat dan golongan memerlukan.
Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kuala Kedah, Amirul Syahir Musa berkata, ini kerana NGO antara badan yang ke hadapan dalam membantu masyarakat terutama ketika bencana dan musim perayaan.
Menurutnya, kebanyakan NGO hanya bergantung kepada sumbangan pihak korporat dan perseorangan serta tidak memiliki dana tetap untuk menjalankan aktiviti.
"Ada ketika kita terpaksa menagih dana untuk menjayakan aktiviti kemasyarakatan. Sedangkan setiap kali berlaku bencana, NGO orang yang pertama tiba untuk salurkan bantuan.
"NGO yang aktif paling banyak adalah di Kedah. Ketika bencana banjir di ibu negara sebelum ini, NGO Kedah yang sampai dulu termasuk kami yang berkampung selama tujuh hari untuk membantu dan menyumbang keperluan mangsa bencana,” katanya selepas program Tautan Hati Secebis Kasih, meraikan 30 anak yatim bagi pembelian baju raya bersama CDERT GPMS Kuala Kedah dan rakan-rakan NGO Kedah, di sini pada Jumaat.
Amirul Syahir berkata, peranan NGO sebenarnya adalah sebagai tulang belakang kepada kerajaan kerana tidak terlibat dengan mana-mana parti politik mahupun kerajaan.
"Kita bantu tanpa mengira parti politik, bangsa atau agama. Kita bantu atas kapasiti kemanusiaan. Sebab itu NGO perlu diberikan ruang yang lebih luas seperti jalin kerjasama dengan kerajaan negeri untuk sama-sama membantu golongan memerlukan,” katanya.
Menurutnya, NGO turut memainkan peranan menceriakan masyarakat menerusi program sumbangan dan kebajikan, justeru pertubuhan itu juga wajar dihargai.
Dalam pada itu, Amirul Syahir berkata, program Tautan Hati Secebis Kasih merupakan inisiatif CDERT GPMS Kuala Kedah dengan kerjasama Dakwah Backpakers Malaysia, Kami Anak Kedah dan Yayasan Ez Prihatin.
"Program santuni anak-anak yatim ini adalah dalam kalangan pelajar sekolah sekitar Alor Setar, Kuala Kedah, Jitra dan Yan. Kita gabungkan empat daerah dan berikan sumbangan baju raya bernilai RM100 seorang.
"Sejak enam tahun lalu, program ini hanya menyasarkan sekitar 10 penerima. Tahun ini memandangkan tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita tambah kuota penerima agar lebih ramai dapat diraikan dan berkongsi rezeki dengan kami,” katanya.
Menurutnya, selain program sumbangan kepada anak yatim, program anjuran bersama yang dilaksanakan termasuk edaran bubur lambuk, pemberian asnaf seramai 500 penerima serta program singgah sahur bersama petugas barisan hadapan.