Penerima taraf warganegara diingatkan pegang prinsip Rukun Negara

Iklan
Hamzah (kiri) menyampaikan surat keputusan kewarganegaraan kepada para penerima pada Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan di Kementerian Dalam Negeri hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Penerima taraf kewarganegaraan Malaysia diingatkan supaya sentiasa berpegang kepada lima prinsip Rukun Negara, menyokong inisiatif kerajaan dan menjauhkan diri daripada sebarang kegiatan jenayah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberi peringatan itu pada majlis penyerahan keputusan kewarganegaraan di sini hari ini kepada 34 penerima dengan mengingatkan mereka agar menjaga nama baik Malaysia dan menjadi sebahagian daripada Keluarga Malaysia yang bertanggungjawab.

Iklan
Iklan

"Jadikan penganugerahan ini sebagai permulaan masa depan yang cerah untuk anda,” katanya pada majlis penyerahan keputusan kewarganegaraan kepada kesemua penerima berusia antara lima dan 24 tahun itu.

Beliau berkata, pemberian taraf kewarganegaraan itu merupakan satu anugerah tertinggi oleh kerajaan kepada mana-mana individu yang berkelayakan berpandukan kepada Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Iklan

Perkara tersebut memperuntukkan kuasa kepada kerajaan Persekutuan dalam sesuatu keadaan khas untuk mendaftarkan seseorang yang berumur kurang daripada 21 tahun sebagai warganegara.

Hamzah berkata, sepanjang tempoh beliau mengemudi Kementerian Dalam Negeri (KDN), pihaknya telah meluluskan kira-kira 20,000 permohonan taraf kewarganegaraan.

Iklan

"Kelulusan bukan mudah, KDN perlu selidik latar belakang pemohon berdasarkan dokumen yang diserahkan,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima taraf kewarganegaraan, Ngan Chun Kai, 14, berkata dia amat menghargai taraf kerakyatan yang diterima.

"Syukur sangat. Saya akan jadi warganegara yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara,” katanya. - Bernama