KANGAR - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) membenarkan jemaah solat, termasuk solat sunat Aidilfitri nanti, untuk bersalaman.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, perbuatan bersalaman dalam kalangan jemaah solat itu dibenarkan mulai 1 Mei depan.
Iklan
Iklan
"Para Jemaah hendaklah sentiasa mencuci atau membersihkan tangan dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu yang diumumkan oleh kerajaan,” titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh MAIPs hari ini.
Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, selain itu semua aktiviti pengimarahan seperti kuliah, ceramah termasuk jamuan makan juga dibenarkan, malah aktiviti sosial lain seperti majlis perkahwinan, jamuan, gotong royong, majlis berbuka puasa, iktikaf dan sebagainya turut dibenarkan, selagi ia mematuhi SOP.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, solat sunat Aidilfitri di negeri ini digalakkan untuk dibuat ditanah lapang pada pukul 8 pagi seperti yang dilaksana sebelum ini, dan pemilihan tapak tanah lapang adalah tertakluk kepada ketetapan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing.
"Pelaksanaan Solat Aidilfitri di mana-mana surau dan dewan tanpa kelulusan pihak berkuasa masih tidak dibenarkan,” titah baginda. - Bernama