Petugas media berpeluang beli ayam, daging pada harga rendah

Iklan
Orang ramai mendapatkan ikan dan ayam serta beberapa barangan lain pada harga rendah sempena Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang diadakan pada Jumaat.

KUALA TERENGGANU - Seramai 48 petugas media di negeri ini bersyukur kerana diberi peluang mendapatkan harga daging, ayam segar dan tulang lembu pada harga rendah sempena Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM), pada Jumaat.

Setiap daripada mereka dihadkan membeli dua ekor ayam segar pada harga RM6 sekilogram (kg) dan setiap satu kilogram (kg) daging dan tulang pada harga RM25 bagi kuantiti yang sama.

Iklan
Iklan

Selain petugas media, jualan pada harga rendah itu juga turut dinikmati sebahagian besar penduduk setempat sempena jualan yang diadakan di Padang Bola Kampung Durian Burong, di sini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sebanyak tiga tan metrik ayam segar yang dijual pada harga RM6/kg serta 0.85 tan metrik daging lembu segar dan tulang yang dijual pada harga RM25/kg disediakan pada program jualan itu.

Iklan

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, sambutan terhadap jualan itu amat memberangsangkan malah hampir semua barangan basah laris dalam tempoh setengah jam.

"PJKM yang memberi peluang kepada seluruh masyarakat menikmati pelbagai barangan dengan harga potongan melebihi 30 peratus akan diteruskan esok.

Iklan

"Kita sudah berbincang dengan pengeluar barangan termasuk pemilik pasar raya untuk lanjutkan PJKM esok. Harga pelbagai barangan terutama ayam segar, daging dan tulang yang ditawarkan pada PJKM esok tetap sama," katanya.

Ahmad Amzad berkata, beliau telah meminta pembekal menambah bekalan terutama ayam segar, daging dan tulang serta ikan.

Sementara itu, wakil media, Aida Abdul Rahman berkata, peluang diberikan amat membantu golongan media yang jarang berkesempatan mendapatkan barangan itu pada harga rendah.

"Di sebalik kesibukan menyediakan laporan berita, golongan media juga tidak ketinggalan untuk menikmati pembelian pada harga rendah.

"Semoga dengan sumbangan ini ia dapat membantu serta memberikan keceriaan kepada media di Terengganu," ujarnya.

Buat masa ini, harga ayam ditetapkan kerajaan adalah RM8.90 setiap satu kilogram manakala haega bagi daging ialah RM39/kg.