Kementerian beri penekanan aspek urus sisa pepejal

Iklan
Rina Harun. - Foto Bernama

KUCHING - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kini memberikan penekanan dalam aspek pengurusan sisa pepejal bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar demi menjaga kesejahteraan, ketenteraman dan keselamatan penduduk.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, itu adalah inisiatif dalam usaha untuk menggalakkan rakyat menjadi lebih prihatin menjaga alam sekitar khususnya di kampung-kampung.

Iklan
Iklan

"Oleh itu, kementerian telah mengenal pasti beberapa kampung untuk merencanakan projek perintis Pengurusan Sisa Pepejal bagi menggalakkan komuniti kampung mempraktikkan sistem pengasingan sampah, mewujudkan tapak pengumpulan sampah, projek pembentungan serta pengaliran dan perparitan secara efisien.

"Modul pengurusan sisa pepejal itu juga telah diterapkan dalam program Diploma Profesional Luar Bandar yang dihadiri Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat.

Iklan

"Diharap selepas ini mereka boleh memikirkan aktiviti berkaitan untuk menggalakkan komuniti kampung masing-masing menambah baik pengurusan sisa pepejal yang sedia ada berdasarkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh daripada program tersebut,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian kampus Institut Kemajuan Desa (INFRA) Cawangan Sarawak di sini, hari ini.

Seramai 140 peserta yang terdiri daripada Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan dari Kuching, Samarahan, Asajaya, Serian, Sri Aman, Pantu dan Lingga menerima Diploma Profesional Pembangunan Luar Bandar.

Iklan

Program Diploma Profesional Luar Bandar merupakan program kerjasama antara KPLB dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang bertujuan untuk membekalkan anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mengurus dan mentadbir pembangunan masyrakat terutamanya dalam sektor sosioekonomi dan keusahawanan.

Para peserta menjalani latihan dari 4 Mac hingga ia tamat hari ini di kampus INFRA cawangan Sarawak dan antara merupakan kumpulan pertama mendapat diploma tersebut. - Bernama