Seorang lagi maut nahas tiga kenderaan, pemandu Toyota Hilux ditahan

Iklan
Laporan Sinar Harian

LUMUT - Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang cedera dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kayan, Sitiawan pada Khamis, dilaporkan meninggal dunia.

Mangsa, Fatin Nurjannah Mohd Ridzuan menghembus nafas terakhir kira-kira jam 9.35 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Seri Manjung di sini pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Mangsa merupakan anak sulung kepada seorang wanita, Nurdiana Abd Rahman, 36, yang turut dilaporkan maut dalam kejadian membabitkan sebuah lori, Proton Persona, pacuan empat roda Toyota Hilux.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, dalam kejadian sekitar jam 5.35 petang itu, seorang lagi anak perempuan mangsa berusia dua tahun mengalami kecederaan ringan.

Iklan

Menurutnya, empat sekeluarga berusia 33 hingga 69 tahun dalam kenderaan pacuan itu mengalami cedera manakala pemandu lori berusia 38 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Siasatan awal mendapati lori terbabit dalam perjalanan dari Manjung ke Kuala Lumpur manakala Toyota Hilux dari arah sama. Apabila sampai di tempat kejadian, Toyota Hilux terbabit cuba memotong lori berkenaan namun bergesel dengan 'bumper' hadapan.

Iklan

"Keadaan menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan lalu masuk laluan bertentangan dan melanggar Proton Persona yang dipandu mangsa bersama dua anaknya," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Nor Omar berkata, punca kemalangan disebabkan kecuaian pemandu Toyota Hilux ketika memotong lori dan melanggar kereta mangsa.

"Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan dan ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan," katanya.

Media melaporkan seorang wanita maut manakala tujuh cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Kayan di Sitiawan pada Khamis.