KUALA LUMPUR - Selepas dua tahun menyambut Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sambutan perayaan tahun ini sememangnya sangat dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia untuk pulang ke kampung berikutan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Kerana itu kesempatan yang ada untuk pulang ke kampung pada Aidilfitri tahun ini tidak dilepaskan orang ramai dengan pengangkutan awam seperti bas dan tren menjadi antara pilihan mereka.
Tinjauan Bernama di pusat terminal bas dan pusat transit integrasi pengangkutan mendapati orang ramai bersemangat untuk pulang awal berhari raya, namun mereka dilihat masih mematuhi SOP bagi mengekang penularan Covid-19.
Di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), seorang suri rumah, Farah Hanim Ishak, 25, berkata, dia telah membeli tiket bas dua minggu awal bagi memastikan mendapat tiket untuk pulang ke Kedah.
"Rasa seronok boleh balik kali ini sebagai perantau walaupun suami tidak dapat ikut atas sebab pekerjaan,” katanya yang turut disertai tiga anak dan kakak ipar.
Walaupun masing-masing ghairah untuk pulang berhari raya, orang ramai tetap mengamalkan penjarakan fizikal ketika membeli tiket bas di kaunter dan mesin tiket layan diri.
Bagi Nur Aqilah Fakhira Ayub, 22, pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), ini merupakan kali pertama dia menaiki bas untuk pulang ke Johor sempena sambutan hari raya.
"Saya menggunakan bas sebab keluarga tidak boleh datang ambil selain tidak mahu menyusahkan mereka, ada juga kawan-kawan yang boleh balik sekali, dapatlah pengalaman baru,” katanya.
Di Stesen Sentral Kuala Lumpur pula, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) antara pilihan popular dalam kalangan pelajar kerana menawarkan harga tiket istimewa untuk mereka.
"Harga asal tiket RM70 kalau nak balik ke Taiping (Perak) tapi sebab ada harga pelajar, harganya hanya RM40. Lagipun ada kawan-kawan lain yang naik tren sama, jadi tak sunyi masa balik nanti,” kata Nur Afreena Mohd Rosli, 22, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Seorang tukang urut Orang Kurang Upaya (OKU) dikenali sebagai Khairul Nizam, 44, berkata, dia menggunakan ETS sebagai pengangkutan utama untuk pulang ke kampung di Negeri Sembilan kerana layanan mesra daripada pihak ETS.
"Macam saya ada masalah penglihatan, jadi kru dekat sini selalu bantu tunjukkan tempat duduk khas untuk penumpang OKU dan bila dah sampai di destinasi pun mereka masih akan tolong saya,” katanya.
Seorang pekerja swasta, Amir Afif Azmi, 35, berkata, dia sekeluarga sangat teruja untuk pulang ke Perlis tahun ini kerana sudah lama tidak dapat berkumpul beramai-ramai bagi menyambut Aidilfitri.
"Saya dah siap beli tiket dua bulan lalu sebab saya dan isteri lagi rela naik tren enam jam daripada terkandas dalam kesesakan,” katanya.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dijangka membuat penambahan empat tren ke Padang Besar, Perlis bagi menampung jumlah penumpang yang tinggi pada musim perayaan ini. - Bernama