KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini, berkenan mengurniakan sumbangan kepada 127 asnaf dan anak yatim sekitar daerah itu, dalam majlis ringkas di sini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua ke rumah kebajikan Taman Pengasih Sultan Haji Ahmad Shah pada 5.40 petang itu, diiringi anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut berangkat Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.
Seri Paduka Baginda berdua berkenan meluangkan masa selama hampir 30 minit menyantuni penerima sumbangan dengan bertanya khabar serta mengucapkan 'Selamat Hari Raya', selain mengingatkan mereka supaya menggunakan sumbangan tersebut sebaiknya.
Penerima terdiri daripada 50 asnaf dan bakinya penghuni Rumah Anak Yatim Nur Iman, Rumah Anak Yatim Permata Insyirah dan Akademi Yayasan Al-Sultan Abdullah-Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (YASA-MUIP), masing-masing menerima sumbangan wang tunai dan bakul makanan.
Seorang penerima Lim Sau Jhiek, 42, yang memeluk Islam hampir setahun lepas berkata beliau tidak menyangka dirinya terpilih untuk menerima sumbangan itu, yang akan digunakan untuk membeli baju raya anak perempuan tunggalnya yang berusia lapan tahun.
"Saya belum membuat persiapan kerana baru berhenti kerja sebulan lepas... selain sumbangan wang tunai, saya juga terima sumbangan barangan dapur yang sangat membantu mengurangkan beban kewangan sebelum dapat kerja lain,” katanya.
Seorang lagi mualaf Mohd Ridzwan Wong, 67, yang menjunjung kasih atas kurniaan itu berkata, sumbangan itu 'sangat besar nilainya' buat dirinya yang memperoleh pendapatan dengan mengumpul dan menjual barangan kitar semula, seperti kotak dan besi buruk.
Beliau berkata sumbangan itu untuk kegunaan harian keluarga, memandangkan isterinya tidak bekerja selain menyediakan keperluan dua anak yang seorang daripadanya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).
Bagi Suhana Sulaiman, 39, sumbangan itu akan digunakan untuk membeli persiapan raya sebelum mereka sekeluarga pulang ke kampung di Felda Keratong, Rompin pada Ahad ini, sebagai tanda berkongsi rezeki itu bersama keluarga besar. - Bernama