MINO Raiola menegaskan dia masih hidup selepas pelbagai laporan di laman media sosial mendakwa ejen pemain bola sepak terkenal itu sudah meninggal dunia.
Malah, media Itali turut melakukan kesilapan dengan mendakwa ejen kelahiran Itali berusia 54 tahun itu meninggal dunia yang kemudiannya dilaporkan di seluruh dunia.
Laporan pada 28 April menyatakan Raiola sudah meninggal dunia, menyebabkan dia terpaksa memuat naik kenyataan di media sosial menyatakan masih hidup dan kecewa dengan berita itu.
"Keadaan kesihatan terkini untuk mereka yang tertanya-tanya. Menjengkelkan buat kali kedua dalam tempoh 4 bulan mereka bunuh saya. Nampaknya masih lagi boleh dihidupkan semula,” tulis Raiola dalam Twitter.
Rakan rapat Raiola, Jose Fortes Rodriguez turut menyelar berita kematiannya dan memberitahu De Telegraaf:"Mino tidak mati. Laporan itu mengarut.”
Raiola merupakan individu penting yang membawa Paul Pogba keluar daripada Manchester United pada 2012 sebelum dia membawa kembali pemain tengah Perancis itu ke Old Trafford empat tahun kemudian.
Selain Pogba, United turut menandatangani beberapa klien Raiola seperti Zlatan Ibrahimovic, Sergio Romero dan Henrikh Mkhitaryan.
Raiola juga didakwa menjadi individu penting yang menyebabkan United gagal mendapatkan bintang muda Borussia Dortmud, Erling Haaland pada 2020.