GEORGETOWN- Tindakan Gerakan yang membuat pengumuman bahawa telah bersedia untuk bertanding dalam mana-mana PRK di Pulau Pinang disifatkan sebagai keterlaluan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, PRK hanya akan berlaku atas sebab yang telah ditetapkan antaranya petisyen pilihan raya, berlaku kematian atau peletakan jawatan di kalangan wakil rakyat.
Menurutnya, adalah tidak elok jika parti yang pernah menjadi parti komponen BN itu berharap agar PRK diadakan di negeri ini.
"Semua pihak tahu, PRK hanya akan diadakan berdasarkan beberapa cara antaranya petisyen pilihan raya. Sekiranya ada petisyen pilihan raya, maka PRK akan dijalankan, namun tempoh untuk membuat petisyen sudah berakhir.
"Cara yang kedua adalah jika ada kematian atau peletakan jawatan oleh mana-mana wakil rakyat. Oleh demikian, saya rasa adalah tidak elok untuk Gerakan berharap untuk PRK diadakan di Pulau Pinang melainkan ia benar-benar berlaku," katanya kepada media tadi.
Ditanya adakah Gerakan masih boleh diterima, Kon Yeow berkata, perkara itu bergantung kepada rakyat untuk membuat penilaian.
"Untuk mengetahui tentang penerimaan dan kemampuan Gerakan di Pulau Pinang, ia bergantung kepada rakyat untuk membuat penilaian. Rakyat bebas untuk membuat pemilihan parti yang mereka suka untuk membela hak mereka.
"Malaysia adalah sebuah negeri demokrasi dan ia boleh dilihat sejak 61 tahun yang lalu," katanya.
Terdahulu, Gerakan mengumumkan akan bertanding jika berlaku PRK di Pulau Pinang dan semua kerusi yang kalah dalam PRU14 lalu.
Pengumuman itu dibuat presidennya, Datuk Dominic Lau selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang diadakan semalam.
Menurutnya, Gerakan akan membuat kemunculan semula dalam mempertaruhkan beberapa kerusi apabila kehilangan 12 kerusi Parlimen dan 33 kerusi Dun pada 9 Mei tahun lalu.