TFC lepasi ujian awal Piala FA

Iklan
Faisal meraikan jaringannya ketika aksi pusingan pertama Piala FA menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebentar tadi. - Foto Bernama

TERENGGANU FC (TFC) berjaya melepasi ujian pertama dalam kempen Piala FA selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebentar tadi.

Corak permainan agresif ditampilkan TFC nyata membuahkan hasil apabila bek tengah Negeri Sembilan, Herold Goulon tertolak masuk bola ke gawang sendiri pada minit ke-28.

Iklan
Iklan

Begitupun, jaringan itu tidak mematahkan semangat Negeri Sembilan yang berjaya menyamakan kedudukan hasil tandukan pemain tengah, Omid Naziri berpunca sepakan bebas Annas Rahmat pada minit ke-35.

Tiga minit berselang, TFC kembali di depan selepas pemain sayap lincah, Faisal Abdul Halim bijak melepaskan diri daripada dua pertahanan lawan untuk merobek gawang pasukan pelawat.

Iklan

Aksi babak kedua memperlihatkan Negeri Sembilan tampil menguasai permainan, namun beberapa peluang terhidang gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Sebaliknya, TFC kental bertahan sehingga wisel penamat dibunyikan untuk mengesahkan pertemuan dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi pusingan kedua.

Iklan