SHAH ALAM - Kemasukan ke pusat jagaan warga emas mendapat permintaan tinggi sehingga ada yang terpaksa diletakkan dalam senarai menunggu.
Ketua Pusat Jagaan Warga Emas Bait Al-Mawaddah, Siti Norkhayati Rabani berkata, situasi itu bukan sahaja berlaku di tempatnya, malahan ia juga terjadi di pusat jagaan Lembah Klang yang lain.
"Bagi pusat jagaan ini (Bait Al-Mawaddah) telah penuh iaitu sebanyak 44 penghuni. Di awalnya boleh sehingga 52 orang. Tetapi empat bilik digunakan sebagai bilik isolasi. Ia bagi kegunaan kepada mereka yang dikuarantin. Penghuni sudah penuh dan kita ada senarai menunggu. Kami terpaksa menahan dulu supaya tiada kemasukan yang berlebihan sehingga tiada penempatan.
"Permintaan juga bergantung kepada kriteria. Kebanyakan yang hantar permohonan adalah yang masih mempunyai anak-anak. Kriteria kita adalah mereka yang atas 60 tahun, fakir miskin, tiada tempat bergantung dan boleh urus diri.
"Kadang-kadang apabila ada permohonan yang tidak layak, kita cuba untuk masukkan ke pusat jagaan lain, namun tidak dapat kerana kebanyakannya telah penuh,” katanya.
Mengenai kemasukan baharu, beliau berkata, perkara itu hanya boleh dilakukan sekiranya terdapat kekosongan di pusat jagaan tersebut.
"Senarai menunggu ini boleh masuk jika ada kekosongan sahaja. Contohnya, penghuni sedia ada ini telah diambil semula oleh waris ataupun ada yang meninggal dunia,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Ruslan Saidin, 53, mengakui trend kemasukan warga emas ke pusat jagaan orang tua telah lama berlaku sejak sebelum pandemik Covid-19 lagi.
"Ramai yang minta masuk ke sini sebenarnya tetapi kita tidak boleh nak terima. Sebab yang pertama kita tak nak terima yang ada waris,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al Ikhlas, Mohd Arif Abdullah Azman, 36 berkata, setiap hari pihaknya akan menerima panggilan untuk memohon masuk dalam pusat jagaan tersebut.
"Kita tak larat nak buat senarai menunggu sebab hari-hari akan ada orang telefon,” ujarnya.
Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah, Nurul Atikah Mohd Azmi, 33 pula berkata, meskipun pihaknya menerima permintaan kemasukan yang tinggi namun, mereka tidak boleh menerima penghuni yang mempunyai masalah kesihatan yang kritikal.
"Kalau keadaan penghuni itu teruk sangat sehingga perlu memakai tiub dan sebagainya, untuk kategori kritikal itu, kami tidak ada kemahiran," jelasnya.