10 ekor lembu habis dijual dalam tiga jam

Iklan
Seorang peniaga melayani pelanggan yang berkunjung ke gerai jualan daging di Manir.

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 10 ekor lembu termasuk lembu sado yang dijual tiga peniaga di tiga gerai jualan daging di Manir disini, habis dijual dalam tempoh tiga jam menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Seorang peniaga, Razak Ghani, 69, berkata, jualan daging tiga ekor lembu terdiri daripada dua ekor lembu sado dan seekor lembu kampung mendapat sambutan hangat pada Sabtu.

Iklan
Iklan

"Saya jual daging hari ini dengan bermodalkan RM20,000 untuk tiga ekor lembu.

"Syukurlah jualan laris walaupun harga bagi lembu sado yang sepatutnya lebih tinggi, perlu dijual pada harga RM36 sekilogram iaitu sama harga dengan daging lembu biasa," katanya ketika ditemui Sinar Harian di gerai jualan daging di sini, pada Sabtu.

Iklan

Razak yang berpengalaman menjual daging sejak 30 tahun lalu berkata, jualan daging lembu sado hanya dijual pada waktu tertentu seperti musim perayaan dan majlis perkahwinan.

"Kita tidak selalu jual lembu sado sebab ia harganya agak tinggi. Sebab itulah ia dijual pada waktu tertentu seperti musim perayaan dan majlis perkahwinan.

Iklan

"Hari ini sebanyak 600 kilogram (kg) daging habis dijual berbanding 50 hingga 60 kg pada hari biasa," katanya yang merupakan peniaga daging paling lama di situ.

Dalam pada itu, Razak berkata, dijangkakan lebih 20 ekor lembu akan dijual di tiga buah gerai jualan daging disitu pada Ahad.

"Esok kita jangka jualan daging lebih banyak berbanding hari ini. Dijangka lebih 20 ekor lembu akan dijual bagi memenuhi permintaan pasaran.

"Jualan daging akan diteruskan sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri dan akan kembali dijual pada hari raya kedua memandangkan ramai yang ingin membuat persiapan untuk kenduri kahwin," katanya.

Selain daging segar, harga bagi sekilogram tulang (RM30), hati (RM36), daging cincang (RM18) dan perut (RM18).

Seorang lagi peniaga, Nazri Mustafa, 58, berkata, empat ekor lembu sado yang dijual licin dalam tempoh tiga jam.

"Kita buka gerai bermula jam 7 pagi, waktu itu sudah ramai pelanggan yang datang ke sini untuk mendapatkan daging.

"Semua daging habis dijual dalam jam 10 pagi tadi," katanya.

Menurut Nazri, harga bagi lembu sado yang dijual disitu mengikut harga kawalan iaitu RM36 sekilogram.

"Walaupun sepatutnya harga daging lembu sado ini lebih mahal, kita patuhi arahan dikeluarkan supaya menjual pada harga RM36 sama seperti lembu biasa.

"Kita akui sebagai peniaga agak tertekan sebab modal dikeluarkan juga tinggi bagi setiap seekor lembu," katanya.