Ayam, daging tumpuan pasar tani

Iklan
Orang ramai mengambil kesempatan membeli keperluan hari raya di Pasar Tani Kampung Simee di sini pada Sabtu.

IPOH - Pasar Tani Kampung Simee berhampiran Stadium Perak, di sini antara lokasi tumpuan orang ramai mendapatkan keperluan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu hadapan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati seawal jam 7 pagi orang ramai sudah mula ke pasar tani berkenaan dan kehadiran semakin bertambah sejam kemudian.

Iklan
Iklan

Antara yang menjadi tumpuan adalah gerai menjual daging, ayam, rempah, sayur-sayuran, ikan, kerepek dan sebagainya.

Daniel

Seorang pengunjung pasar tani, Daniel Ahmad, 29, berkata, harga barang-barang di Pasar Tani Kampung Simee itu berpatutan dan banyak.

Iklan

Menurutnya, barang-barang mentah untuk keperluan hari raya juga mudah diperoleh dan tak perlu pergi banyak tempat.

"Tahun ini kebetulan pertama kali beraya di rumah mentua di Tambun. Saya orang Selangor dan kalau nak dibandingkan harga memang agak berpatutan di pasar tani ini.

Iklan

"Beli awal ini senang, tak perlu kelam kabut beli saat-saat akhir. Takut tak ada pula bahan-bahan yang nak digunakan untuk masak nanti," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Azlina

Berlainan pula dengan Azlina Azizan, 39, yang membeli barang-barang keperluan di pasar tani tersebut untuk dibawa berhari raya di Kuala Lumpur.

Katanya, walaupun harga barang semakin meningkat namun, membeli keperluan di pasar tani lebih mudah kerana semuanya ada di satu tempat.

"Tahun ini kami akan beraya di rumah abang di Kuala Lumpur memandangkan bapa kami sedang menjadi rawatan di hospital. Jadi tujuh beradik akan berkumpul di Kuala Lumpur.

"Antara menu wajib raya kami mestilah ketupat, rendang, laksa dan sebagainya," katanya yang berasal dari Gurun, Kedah.

Bagi peniaga, Rohisham Aswadi Ahmad Rodi, 43, pula, sejak lapan tahun menjalankan perniagaan di pasar tani itu, tahun ini agak meriah dengan kehadiran pengunjung sejak tahun 2020.

Menurutnya, kelonggaran ketika ini dalam tempoh fasa ke arah endemik membolehkan orang ramai membeli-belah dengan selesa tanpa prosedur operasi standard (SOP) ketat.

"Untuk hari ini sahaja, kami sediakan 140 kg pelbagai jenis rempah. Ada 17 jenis rempah yang dijual untuk memudahkan orang ramai memasak sempena hari raya nanti.

"Rempah paling mendapat permintaan adalah bahan untuk membuat rendang padang dan masak hitam. Selain rempah, cili giling pun kita jual di sini," katanya.

Marini

Seorang lagi peniaga, Marini Roslee, 35, berkata, jualan pelbagai jenis kerepek juga turut laris di pasar tani berkenaan walaupun orang ramai banyak tertumpu membeli bahan mentah.

Katanya, kebanyakan pelanggan mengambil kesempatan membeli kerepek untuk dihidangkan pada hari raya nanti selain untuk diberikan kepada ahli keluarga masing-masing.

TAMAT