PENGENDALI Everton, Frank Lampard kini hanya mahu fokus kepada pertemuan berdepan Chelsea di Goodison Park, Ahad ini.
Menurut Lampard, dia juga tidak mahu terlalu beremosi ketika berdepan bekas kelabnya itu dan telah mengarahkan kesebelasan The Toffees itu untuk beraksi dengan baik bagi memastikan kejayaan ke atas pelawat.
Malah katanya, dengan situasi semasa skuad kendaliannya itu, kesemua pemain diharap berikan fokus kepada perlawanan berkenaan.
"Tak ada sebarang sentimen daripada saya terhadap perlawanan ini dan saya juga tidak mahu terlalu beremosi dengan perlawanan ini; biarpun saya ada banyak pengalaman pahit manis bersama mereka.
"Apa pun, saya berharap pemain-pemain dapat memberikan aksi terbaik mereka dalam usaha menjamin kemenangan kali ini,” katanya.
Chelsea kini berada pada kedudukan ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 66 mata setelah mengharungi 33 perlawanan, berbanding Everton yang berada di zon penyingkiran dengan hanya meraih 29 mata daripada 32 perlawanan.
Sementara itu ketika ditanya apakah dia tetap berada di Goodison Park seandainya Everton tersingkir daripada saingan Liga Perdana, Lampard menegaskan dia tidak memiliki jawapan yang spesifik.
Bagaimanapun menurut Lampard, dia sememangnya sayangkan Everton dan akan terus berusaha untuk memastikan kelab berkenaan terus beraksi di EPL musim depan.
"Ketibaan saya ke Goodison Park disambut dengan baik dan saya disenangi semua penyokong; oleh itu saya akan lakukan apa sahaja bagi memastikan kelab ini kembali berada di tempatnya.
"Saya juga tidak mahu terlalu memikirkan mengenai masa depan saya di sini kerana fokus saya ketika ini adalah untuk memastikan Everton kekal di saingan EPL,” katanya.