KUANTAN - Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura tidak terjejas susulan kes rakyat negara ini, mendiang Nagaenthran Dharmalingam yang dihukum mati di Penjara Changi, Singapura Rabu lalu selepas didapati bersalah menyeludup dadah ke negara itu pada 2009.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata, Malaysia menghormati lunas undang-undang negara itu.
Menurutnya, kerajaan kedua-dua negara saling memahami terhadap keperluan sesebuah negara untuk menegakkan undang-undang masing-masing.
"Kerajaan telah mencuba sedaya upaya membantunya untuk mendapatkan keampunan dan dikurangkan hukuman..
"Selain itu, Nagaenthran bukan rakyat Malaysia pertama menjalani hukuman mati di negara itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Program Jualan MyRakyat Sentuhan Kasih Aidilfitri di perkarangan Wisma Belia Indera Mahkota, di sini pada Sabtu.
Saifuddin berkata, kerajaan telah mencadangkan supaya Malaysia dan Singapura mengadakan perjanjian pertukaran banduan antara kedua negara.
Menurutnya, tiada sebarang perjanjian pertukaran banduan itu setakat ini.
"Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan melihat perkara ini dengan lebih lanjut," katanya.