SEREMBAN - Penduduk sekitar Seremban mula mengunjungi pekarangan Seremban Centrepoint seawal jam 5 pagi untuk membeli daging dan barangan lain sebagai persiapan Hari Raya Aidilfitri ini bersempena aktiviti mantai.
Lebih meriah tradisi mantai kali ini apabila pelanggan berpeluang membuat pilihan sama ada ingin membeli daging secara fizikal ataupun dalam talian yang julung kali dilaksanakan oleh kerajaan Negeri Sembilan menerusi Program Mantai Aidilfitri dalam talian.
Peniaga, Hazmi Syakir Hirzan Bazli, 30, berkata, dia sudah berada di lokasi seawal jam 12.30 tengah malam bagi persiapan untuk berniaga.
"Kira-kira jam 5 pagi tadi sudah ada pelanggan membeli daging di sini dan sehingga 9 pagi tadi hampir 200 kilogram daging telah dijual termasuk pesanan dalam talian.
"Pembeli boleh membuat pesanan dalam talian menerusi aplikasi Agrobazar Online bagi menempah daging lembu atau kerbau kemudian mengambil pesanan itu di sini,” katanya kepada ketika ditemui pada Program Mantai Aidilfitri dalam talian dan jualan ladang di Seremban Centerpoint pada Sabtu.
Katanya, pembeli boleh memilih bahagian mana hendak dibeli dengan menulis pada ruang yang disediakan dalam sistem pesanan tersebut.
Seorang lagi peniaga daging, Nur Anita Sapri, 27, berkata, kira-kira 10 tan daging lembu sudah terjual termasuk jualan secara dalam talian membabitkan 25 ekor lembu.
"Bagi saya lebih mudah membeli secara dalam talian sekali gus membantu pelanggan mendapatkan barang yang ditempah dengan cepat," katanya.
Manakala seorang pembeli, Norhayati Suboh, 42, berkata, lebih selesa membeli daging secara terus berbanding dalam talian kerana mahu merasai kemeriahan mantai dan suasana menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
Sementara itu Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, aktiviti mantai bagi sambutan perayaan kali ini melibatkan 420 ekor lembu dengan kos RM1.68 juta.
Katanya, daripada jumlah itu, kerajaan negeri menerima tempahan 241 kilogram secara dalam talian dan pembeli boleh mengambil tempahan mereka di beberapa pasar yang ditetapkan.
"Mantai ini adalah tradisi masyarakat di Negeri Sembilan sempena menyambut Ramadan dan Aidilfitri, sebab itu ramai anak perantau Negeri Sembilan akan pulang ke kampung lebih awal untuk meraikan mantai.
"Uniknya mantai ini, setiap daerah ada kelebihan masing-masing, contohnya Rembau, daging kerbau menjadi pilihan utama,” katanya.